Tuesday, March 23, 2010

Bukan Hamidah 'jongang' tapi Hamidah ........


IPOH , 23 Mac : Sekretariat wanita Pakatan Rakyat (PR) Perak membidas kenyataan Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Hamidah Osman yang menggelar V Sivakumar sebagai badut.

Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Bariah Awang Sapri berkata, Barisan Nasional (BN) perlu cerminkan diri kerana merekalah yang memulakan drama politik di Perak.

Menurutnya, pihaknya kesal dengan tindakan Hamidah yang mengeluarkan kenyataan sedemikian dan dalam masa sama memberi amaran keras supaya tidak mencampuri urusan perundangan jika tidak arif mengenainya.

“Sebenarnya beliau perlu sedar yang badut adalah Ganesan kerana ia dipilih secara ‘haram’ dan menyamar dirinya sebagai Speaker.

“Paling penting, Hamidah sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa jika berjumpa dengan seekor ular dan seorang India, pukul orang India dulu, ini jelas membuktikan bahawa beliau merupakan seorang hipokrit yang menyokong Ganesan semata-mata mahu menjaga kepentingan politik serta jawatannya sebagai Exco Kerajaan Negeri,” katanya kepada pemberita di Pejabat PR di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Leong Mee Meng; ADUN Menglembu, Lim Pek Har; Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat Pas Perak, Amizan Baharuddin; Ketua Lajnah Kebajikan Dewan Muslimat Pas Perak; Zuhairah Datuk Mohd Ghazali dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Sekretariat Wanita PR, Naqibah No’ma A Bakar dan Pengerusi DAP cawangan Taman Merdeka, V Shasha.

Ketua Wanita Keadilan Perak, Fathmawaty Salim pula menyatakan pendirian tindakan Hamidah dianggap keterlaluan dan cuba menjatuhkan maruah sebagai seorang wanita.

Katanya, Hamidah tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian walhal pakar perundangan dan juga pensyarah undang-undang jelas menyatakan bahawa Sivakumar masih lagi Speaker yang sah.

“Sepatutnya beliau perlu memandang serius berkenaan hal ini dan menghormati pandangan itu bukannya mengeluarkan kenyataan sesuka hati.

“Kami cukup pantang dengan tindakan Hamidah ini kerana ia akan dikaitkan dengan wanita menjadi punca kepada kejatuhan sesebuah negeri atau kerajaan, walhal kita meneruskan perjuangan untuk kaum wanita.

“Justeru, beliau mesti bertanggungjawab ke atas kenyataan terhadap Sivakumar dan kami pohon supaya beliau memohon maaf secara terbuka, jika tidak, kami tidak akan melepaskannya,” katanya.SH

No comments: