Tuesday, March 23, 2010

Pilihanraya tempatan : 93 peratus sokong


GEORGETOWN , 23 Mac :
Walaupun mengakui ada kelemahan dalam soal selidik yang dijalankan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) mempertahankan hasilnya yang mendapati majoriti responden menyokong pilihan raya kerajaan tempatan di Pulau Pinang.

Koordinator Suaram cawangan Pulau Pinang, Ong Jing Cheng berkata, soal selidik yang hanya dijalankan selama dua hari bermula 20 Mac mendapati 92.7 peratus menyokong cadangan Kerajaan Negeri memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan.

Menurutnya, daripada 546 responden yang ditemui di Pasar Jelutong, Pasar Taman Tun Sardon, Medan Selera Supertanker, Padang Kota Lama, Weld Quay dan medan selera di sekitar Relau, 506 orang menyokong berbanding 40 yang tidak bersetuju.

“Dalam soal selidik berbunyi ‘adakah anda setuju dengan pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan sepertimana yang dikemukakan oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng?, kami dapati rakyat Pulau Pinang menyokong pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan.

“Rakyat mahu undi ketiga iaitu untuk memilih ahli majlis sebagai memenuhi prinsip akauntabiliti. Kalau prestasi mereka tidak memuaskan, rakyat boleh memilih calon yang lebih bagus pada pilihan raya tempatan akan datang,” katanya pada sidang media mengumumkan hasil soal selidik itu di sini, semalam.

Ditanya mengenai profil serta demografi responden yang tidak menyeluruh dan tidak menggambarkan hasil sebenar soal selidik itu, beliau berkata, ia tetap mencerminkan suara akar umbi rakyat Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Jing Cheng mengakui bahawa ia tidak memberi gambaran atau keadaan sebenar kerana soal selidik hanya tertumpu di bahagian pulau dan kawasan tertentu sahaja.

Ditanya kesan hasil kajian itu, beliau berkata, ia dapat memberi petunjuk kepada Kerajaan Negeri mengenai sebenar hasrat rakyat.

Sehubungan itu, Suaram akan mendesak Kerajaan Negeri mengemukakan rancangannya kepada rakyat Pulau Pinang untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersetuju dengan cadangan itu.

“Tuntutan kami adalah jelas. Kami mahu Kerajaan Negeri mengumumkan pelan rancangan pilihan raya kerajaan tempatan, biar rakyat faham tentang jadual dan aktviti yang ditetapkan bagi menyenangkan rakyat memahami dan menyokongnya.

“Ini akan memberi peluang kepad pengundi untuk memantau prestasi Kerajaan Negeri,” katanya.SH

No comments: