Thursday, April 1, 2010

110,000 daftar Takaful Kifalah


CHETOK , 1 April : Seramai 130,000 warga emas yang ada di Kelantan hanya lebih kurang 110,000 warga emas sahaja yang berdaftar dalam Takaful Kifalah sehingga hujung tahun lepas.

Pengurus Besar Kifalah Sdn Bhd, Khalili Ab Kadir berkata, bilangan ini menunjukkan masih ada lagi warga emas yang masih belum berdaftar dan berkemungkinan tidak mengetahui mengenai perkara ini ataupun beranggapan berkemampuan.

Menurutnya, ada juga warga emas yang berada di luar Kelantan menyebabkan mereka tidak berdaftar ataupun tidak mempunyai maklumat mengenai skim ini.

“Kita sudah mengenal pasti mengenai perkara ini tetapi terpulang kepada mereka untuk berdaftar atau sebaliknya dan kita tidak memaksa mereka untuk berdaftar dengan kita cuma ini sekadar memberi manfaat dari sudut kewangan kepada keluarga si mati nanti.

“Kita mahu membantu mereka dan keluarga untuk meringankan beban dan ini salah satu usaha kita membantu tanpa mengira pangkat, darjat dan fahaman parti politik,” katanya pada penyerahan wang Takaful Kifalah di sini.

Khalili berkata, pembahagian wang skim itu akan diserahkan mengikut Parlimen dan pembayaran mengikut tuntutan yang dibuat oleh keluarga si mati.

Menurutnya, dari Januari hingga Februari tahun ini, sebanyak RM4 juta diagihkan kepada 2,040 keluarga si mati untuk digunakan dengan sebaiknya.

“Di kawasan Chetok ini, seramai 94 orang penerima wang kifalah di antara RM 500 hingga RM 2,000 seorang.

“Wang ini asasnya untuk rakyat dan pemastautin dalam negeri ini dan tidak mengira sebarang perbezaan yang ada,” katanya.

Beliau berkata, pembahagian wang kifalah ini adalah hasrat kerajaan untuk membantu rakyatnya.SH

No comments: