Thursday, April 1, 2010

‘Penyamun, Penyangak, Pencuri, The World is Watching, UMNO katak’.


IPOH , 1 April : Persidangan Dewan Rakyat Pertama, Penggal Ketiga Mesyuarat ke-12 Dewan Negeri Perak, hari kedua, semalam, kecoh apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Pakatan Rakyat (PR) cuba membangkitkan isu pelantikan Yang Dipertua Dewan yang disandang oleh Datuk R Ganesan dikatakan tidak mengikut Perintah Tetap.

Kekecohan dimulakan oleh ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming kerana cuba membangkitkan isu berkenaan dan disambung oleh ADUN Pakatan.

Sementara itu, pertelingkahan semakin hangat apabila ADUN PR menunjukkan sepanduk kertas bersaiz A4 yang tertera perkataan ‘Penyamun, Penyangak, Pencuri, The World is Watching, UMNO katak’.

ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berang apabila terdapat ADUN PR yang menunjukkan logo UMNO.

“Jangan biadab, jangan tunjuk lambang UMNO dalam Dewan,” kata Tajol.

ADUN PR mulai meninggalkan Dewan pada jam 10.58 pagi kerana permintaan mereka yang mahu isu pelantikan Speaker tidak dilayan.

Persidangan ditangguhkan oleh Speaker ke satu tarikh yang akan ditetapkan, selepas diusulkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sementara itu di luar Dewan, ADUN PR mencabar Barisan Nasional (BN) Negeri meneruskan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) selama lima hari, bagi membahaskan titah perasmian Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah pada perasmian pembukaan sidang berkenaan semalam.

ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, titah baginda perlu dibahaskan pada sidang berkenaan kerana titah itu dilihat banyak memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya memberi jaminan bahawa semua ADUN PR akan hadir sekiranya perbahasan sidang berkenaan diteruskan selama lima hari demi membuktikan bahawa kami (PR) benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kesal dengan tindakan ganas dan liar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat yang cuba menjadikan Dewan seperti ‘kandang’.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan ADUN Kuala Sepetang, Tai Sing Ng yang dikatakan cuba memukulnya dengan menggunakan fail setelah bertindak melintas garisan pihak lawan, ke arah beliau.SH

No comments: