Monday, April 12, 2010

Beri peruntukan Ahli Parlimen PR dulu


SHAH ALAM, 12 April : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri sedia memberi peruntukan kewangan kepada semua Ahli Dewan Negeri sekiranya kerajaan pusat juga bersedia berbuat demikian kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti.

Kata beliau, ini berikutan tindakan kerajaan pusat yang bersikap selektif dengan hanya memberikan peruntukan kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional sahaja tetapi mengenepikan hak yang sepatutnya diterima Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat.

"Jadi mengambil contoh kerajaan persekutuan, kerajaan negeri juga memberi peruntukan melalui Ahli-ahli Dewan Negeri Pakatan sahaja. Kalau kerajaan persekutuan bersedia, kerajaan negeri juga bersedia melakukannya. Hari ini kerajaan persekutuan membuat pengumuman, esok kerajaan negeri akan juga menerima pengumuman tersebut," katanya pada sidang media selepas majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke-12 di sini hari ini.

Mengulas mengenai penambahan peruntukan, Khalid menjelaskan setakat ini tiada lagi cadangan berbuat demikian sebaliknya beliau menegaskan peruntukan sedia ada hendaklah digunakan sebaik-baiknya.

"Kita telah menerima hakikat bahawa Dewan Negeri Selangor ada mempunyai jawatankuasa khas yang juga memantau cara peruntukan itu digunakan. Jadi apa yang ingin saya katakan terdapat 'check and balance' dari segi kuasa yang diberi.

"Saya juga diberitahu tiap-tiap kawasan Parlimen, kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1 juta tetapi peruntukan itu disalurkan hanya kepada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional walaupun saya dan Teresa Kok ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan juga Seputeh tetapi kami tidak dapat peruntukan tersebut.

"Malangnya peruntukan tersebut telah diberi kepada Ketua Bahagian Umno Bandar Tun Razak. Di negeri pula, kita juga memberi peruntukan sebanyak RM450,000 hingga RM500,000 kepada setiap Dewan Negeri dan peruntukan itu diberi melalui Ahli Dewan Pakatan sahaja. Jadi bagi mana-mana kawasan yang tiada wakil daripada Pakatan umpamanya seperti Sungai Panjang, kita bagi kepada Exco supaya dia menjadi ADUN angkat kepada kawasan tersebut," jelas Menteri Besar lagi.

No comments: