Thursday, April 8, 2010

Hal ehwal agama Islam di bawah kuasa Sultan Kedah


ALOR SETAR , 8 April : Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan perbezaan fahaman politik menjadi punca pegawai beberapa masjid di negeri ini dipaksa mengisi borang meletak jawatan.

Katanya, perkara itu di luar bidang kuasanya, kerana urusan berkaitan hal ehwal agama Islam adalah di bawah bidang kuasa Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

“Perkara itu bukan diputuskan oleh saya. Terdapat sebuah badan khas yang memberi pandangan dan nasihat berkaitan hal ehwal agama sebelum diperkenankan oleh Tuanku Sultan. Biarlah Majlis Agama Islam Kedah (Maik) yang menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Azizan mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengakui menerima aduan beberapa pegawai masjid, terdiri daripada imam, bilal dan siak bahawa mereka diberi borang M4 oleh Pejabat Agama Daerah Kota Setar untuk diisi sebagai tanda ingin bersara.

Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik), Datuk Khairuddin Zin, kelmarin, memaklumkan semua pegawai masjid berusia lebih 60 tahun dan uzur diminta mengisi borang bersara dan wajar melepaskan jawatan bagi memberi laluan kepada pegawai masjid baru.SH

No comments: