Tuesday, April 27, 2010

Mohsin belum kota janji


BAGAN SERAI , 27 April : Seramai 271 peneroka di Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pondok Tanjung,Sira Badak 1,Sira Badak 11 dan Felcra Matang Tengah meminta Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzly Samsuri mengotakan janji yang dibuat beliau kepada mereka.

Peneroka berkenaan mahu Mohsin menunaikan janjinya untuk menyelesaikan masalah mereka sejak tiga tahun lalu yang dibangkitkan pada Jun 2008.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Bagan Serai, Abdul Malik Abdul Latif berkata, Mohsin sepatutnya menyelesaikan kes berhubung pertindihan tanah antara peneroka dan penama di atas geran tanah yang sama sejak 2008 tetapi beliau gagal berbuat demikian.

Menurutnya, Mohsin hanya berjanji untuk menyelesaikan masalah itu namun sehingga kini iada sebarang tindakan diambil.

“Mohsin sepatutnya tidak menangguhkan lagi kes berhubung peneroka ini dan segera menyelesaikan masalah mereka.

“Kejadian ini satu penganiayaan kepada penduduk yang meneroka tanah itu sejak lebih 10 tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, seorang wakil peneroka, A Rahman Hashim berkata, pihaknya mengadakan perbincangan dengan peguam bagi mengkaji masalah itu dan tidak menolak perkara berkenaan akan dibawa ke mahkamah.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya juga berusaha membuat penyelesaian terbaik antara pemilik geran dan peneroka.

“Apa yang menyedihkan ada pemilik geran tanah berkenaan sudah menjual tanah yang diusahakan peneroka kepada orang lain,” katanya.

Terdahulu, Mohsin ada menyatakan beliau sudah berbincang dengan Pegawai Daerah Kerian Ismail Hassan, berhubung perkara itu dan berharap ia dapat diselesaikan dengan baik.SH

No comments: