Wednesday, May 5, 2010

Panel diminta siasat dengan penuh ketelusan, setaraf dengan suruhanjaya diraja

















KUALA LUMPUR, 5 Mei: PAS mahu panel khas yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden kematian remaja 15 tahun, Aminulrasyid Amzah akibat ditembak polis 26 April lepas menjalankan siasatan dengan penuh ketelusan, setaraf dengan suruhanjaya diraja.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata, meskipun PAS mangalu-alukan penubuhan panel khas itu namun sedikit kecewa kerana permintaan untuk penubuhan suruhanjaya diraja tidak dipenuhi.

"Kita mengalu-alukan penubuhan panel tersebut walaupun yang kita mintak sebenarnya suruhanjaya diraja supaya siasatan lebih telus dapat dijalankan.

"Sebelum ini melihat kepada track record, suruhanjaya diraja ini lebih berjaya dalam mendedahkan apa juga kebenaran seperti kes mata lebam (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan juga beberapa kes lain. Kita mengharapkan ketelusan dalam panel khas ini," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Lo' Lo' yang juga ahli Parlimen Titiwangsa juga menegaskan, ketelusan dalam siasatan kes tersebut amat penting kerana insiden yang berlaku itu menggambarkan integriti dan kewibawaan pasukan polis dalam menjalankan tugas mereka.

"Ini bukan masalah kematian seorang manusia sahaja tetapi sekarang rakyat tertunggu-tunggu hasil siasatan yang sebenarnya. Bukan masalah satu keluarga bersedih kerana kematian seorang anak tetapi ini adalah gambaran kepada integriti dan kewibawaan pasukan polis itu sendiri dan juga kerisauan rakyat.

"Sepatutnya rakyat meletakkan harapan pada polis tetapi sekarang ini rakyat menjadi takut dan gerun dengan polis kerana orang yang tidak bersalah pun boleh menjadi mangsa kepada kecuaian polis.
"Kita bercakap kepada sebahagian anggota polis, bukan kita kata semua anggota polis. Kita juga tahu risiko yang terpaksa ditanggung polis ketika menjalankan tugas," tegasnya.

Panel khas itu dipengerusikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop dan dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Haniff Omar, tiga anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), pensyarah dan penganalisis jenayah.

Tiga anggota Suhakam itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Datuk Dr Michael Yeoh, Datuk Seri Muhammad Shafee (peguam) dan Datuk Dr Denison Jayasooria (aktivis).

Lain-lain anggota panel ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Datuk Abd Halim Sidek dan penganalisis jenayah, Kamal Affandi.

Panel khas itu memulakan tugaa mereka dengan melawat tempat kejadian malam semalam.
Mengulas mengenai keputusan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang semalam menolak usul bagi membincangkan perkara itu, Lo' Lo' mempersoalkan keputusan itu kerana katanya alasan yang diberikan Abu Zahar bahawa ianya tidak perlu disegerakan kerana masih dalam siasatan polis adalah tidak munasabah.

"Memang tak hairanlah apabila usul itu ditolak. Apabila sudah dibawa ke mahkamah, mereka kata tidak boleh dibincangkan sebab kes mahkamah. Dalam siasatan pun tidak boleh bincang juga.

“Kalau dalam siasatan sepatutnya boleh dibincangkan. Bila sudah dibawa ke mahkamah memanglah tidak boleh bincang. Jadi, bila masa kita boleh bincang isu yang begitu mengejutkan negara ini?" soalnya.

Kira-kira jam 2 pagi 26 April lepas, Aminulrasyid yang merupakan pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, mati selepas terkena tembakan anggota polis peronda di Jalan Makyong 11/2G, Seksyen 11.

No comments: