Wednesday, May 5, 2010

PAS tiada kaitan isu RM4j


KUALA LUMPUR , 5 Mei :
PAS menafikan terlibat dalam penyaluran RM4 juta kepada Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz untuk memburukkan kepimpinan bekas Perdana Menteri lalu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, memang menjadi matlamat PAS serta Pakatan Rakyat (PR) untuk menumbangkan kerajaan sedia ada, tetapi untuk menyerang individu tertentu sahaja, adalah di luar dasar dan perjuangan PAS.

Menurutnya, PAS Pusat dan Kerajaan Kelantan tidak pernah mengeluarkan wang sebanyak itu, malah mempersoalkan motif sebenar Syed Azidi yang tiba-tiba lantang bersuara selepas dipecat dari Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Perkara ini bukan agenda PAS. Kami tidak terlibat apa-apa pun dalam dakwaan yang dibuat Syed Azidi. Cuba fikir, kalau PAS jatuhkan Pak Lah (Abdullah), yang akan naik (Datuk Seri) Najib. Jadi apa faedahnya?” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Pas Pusat di sini semalam.

Mustafa, yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu, menjelaskan pucuk pimpinan PAS langsung tidak tahu mengenai kewujudan Global Media Channel Sdn Bhd (GMC) yang didakwa sebagai pusat penyebaran propaganda PAS Kelantan.

“Saya baru tahu mengenai GMC melalui berita. Kalau saya tidak tahu, saya fikir (Mursyidul Am PAS) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan (Presiden PAS) Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak tahu,” katanya.

Katanya, PAS menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

“SPRM belum menghubungi kami,” katanya.

Selepas dipecat daripada PMBK November lalu, Syed Azidi menjadi tumpuan media kerana membuat dakwaan mengenai beberapa msalah dalam kerajaan Kelantan, pimpinan PAS.SH

No comments: