Wednesday, May 19, 2010

Selcat siasat, SPRM dakwa



"Maka terpulang kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk melakukan tindakan susulan dengan menggunakan kuasa yang ada pada suruhanjaya itu," katanya.

Khalid berkata demikian ketika menjelaskan pertikaian sesetengah pihak yang meragui peranan Selcat dan kuasa terbatas yang dimilikinya pada sidang media selepas mesyuarat exco di bangunan SUK, di sini petang tadi.

Menteri Besar itu mengakui Selcat tidak mempunyai kuasa untuk membuat pendakwaan terhadap salah laku dalam isu penyelewengan aktiviti melombong pasir oleh anak syarikat milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Namun demikian katanya, SPRM sudah tentu berminat untuk membuat tindakan susulan jika sekiranya kenyataan yang dibuat oleh Selcat mengandungi unsur-unsur rasuah dan berlakunya penyelewengan.

SPRM boleh dakwa

"Adalah dalam bidang kuasa SPRM untuk membuat pendakwaan jika sekiranya terdapat sebarang penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah melalui kenyataan-kenyataan Selcat," terang beliau.
Ekoran dari pendedahan tentang dakwaan berlakunya penyelewengan dalam isu pasir ini oleh Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam, maka Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim menetapkan tarikh 2 hingga 4 Jun depan untuk pendengaran awam oleh Selcat.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan bahawa sesiapa sahaja boleh membuat laporan polis jika tidak berpuas hati berhubung kes melombong pasir yang melibatkan kerajaan negeri Selangor itu.

Beliau mengulas laporan oleh bekas penyelaras Parti Keadilan Rakyat, DUN Ijok, Azmi Muhammad di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang meminta disiasat kenyataannya yang didakwa berbau ugutan terhadap Manikavasagam.

Azmi mendakwa kenyataan Khalid itu bertujuan untuk melindungi saudara terdekatnya yang didakwa mempunyai kaitan dengan KSSB.

"Dia boleh buat laporan polis. Saya galakkan, jika ada sebarang individu yang berfikir dengan tujuan menjaga harta negeri ataupun apa-apa mengenai penyalahgunaan kuasa dan rasuah," kata Khalid.

Azmi, dalam laporannya mendakwa bahawa saudara terdekat Khalid terlibat dalam kes simbah cat ke atas kereta dan rumah Manikavasagam tempuh hari.

No comments: