Monday, June 7, 2010

Bantuan kebajikan tidak jamin kemenangan Pakatan



SHAH ALAM, 7 Jun : Bagi memenangi pilihan raya akan datang, Pakatan Rakyat harus memperkasakan rakyat dengan fahaman perjuangan serta pendidikan dan tidak sekadar memberi bantuan kebajikan sahaja, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

"Sekadar memberi bantuan kebajikan tidak memadai," kata setiausaha agung PSM, S Arutchelvan.

Tegasnya, bantuan kebajikan adalah penting dan harus diteruskan tetapi yang lebih penting adalah pemahaman tentang perlunya perubahan.

Arutchelvan menegaskan demikian dalam satu kenyataan. PSM selesai mengadakan kongres parti itu semalam, yang dihadiri 250 perwakilan dan pemerhati di Dewan perhimpunan Cina Selangor.

Kongres itu membincangkan tiga kertas kerja mengenai '1Malaysia dan Model Ekonomi Baru Najib', 'Isu transisi kepimpinan dalam PSM' dan 'isu krisis cuaca dunia dan menyelamatkan alam sekitar'.

Kongres juga membincangkan 26 usul di mana 16 usul telah diterima, lima ditolak, tiga ditarik balik dan dua usul akan dibincang di peringkat jawatankuasa parti.

Mengenai usul Pakatan, Arutchelvan berkata, ia telah dibincang panjang lebar dan kongres dengan majoriti besar, memutuskan bahawa PSM buat masa ini tidak mempunyai sebarang hasrat membentuk kuasa ketiga tetapi tegas bahawa musuh utama adalah BN.

"Justeru PSM akan bekerjasama dengan Pakatan dan kumpulan-kumpulan progresif lain untuk menamatkan pemerintahan BN.

"PSM juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan Pakatan mengenai kerjasama tersebut, termasuk kerjasama semasa pilihan raya," tambahnya.

Malah, tegas Arutchelvan PSM juga terbuka terhadap penggunaan logo dan manifesto bersama dalam pilihan raya yang akan datang.

Antara usul yang dilulus yang menarik adalah protes terhadap bencana alam sekitar dan kapitalisme dan juga mengadakan pameran seni kiri iaitu program yang membawa bersama pelbagai artis dan seniman progresif.

PSM juga katanya, melihat bahawa pemerintah telah memulakan perang terbaru apabila mahu menarik balik subsidi .

"Ini merupakan serangan terkini terhadap rakyat pekerja biasa di negara kita. PSM akan memobilisasi rakyat untuk mengekalkan subsidi ini," tegas Arutchelvan.

Antara resolusi lain yang diluluskan ialah menolak Model Ekonomi Baru (MEB) yang berasaskan kepentingan golongan elit kapitalis, menuntut dilindungi hak pekerja termasuk melalui penggubalan akta gaji minima, di samping membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

PSM juga menuntut dimansuhkan ISA, AUKU, OSA, PPPA dan mendesak kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat dan Akta Kebebasan Media.

PSM juga menuntut kerajaan negeri termasuk kerajaan Pakatan, mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan, penggubalan undang-undang yang menghalang wakil rakyat melompat parti serta mengutuk PERKASA yang didakwanya mempermainkan politik perkauman dan memecah-belahkan rakyat.

PSM turut membantah pemberian lesen judi bola, di samping menyokong perjuangan penduduk Bukit Koman dalam menghentikan keracunan cyanide oleh lombong emas.Malaysiakini

No comments: