Monday, June 7, 2010

Kelemahan KKSB perlu diatasi



KUALA SELANGOR, 7 Jun :
Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan kepada lembaga pengarah syarikat melombong pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), sama ada mahu melakukan rombakan dalam pengurusan tertinggi anak syarikat syarikat kerajaan negeri itu atau tidak.

Bagaimanapun, beliau berkata laporan audit KSSB jelas menunjukkan bahawa beberapa langkah perlu diambil bagi mengatasi kelemahan dalam syarikat itu.

“Langkah bagi memperbaiki pentadbiran KSSB tercatat dalam laporan audit. Ini akan membantu KSSB menyelesaikan isu seperti ketidakcekapan dalam syarikat seperti yang dilakukan dalam syarikat lain yang berjaya,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Jambori Amal Islami Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS) di Universiti Industri Selangor (UNISEL), Bestari Jaya di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesimpulan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) dalam inkuiri tiga hari yang berakhir Jumaat lepas bahawa ia mendapati terdapat salah urus dan kelemahan dalam sistem pentadbiran KSSB.

Selcat menyiasat dakwaan ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam berhubung kegiatan rasuah membabitkan pegawai kanan syarikat itu.

Bagaimanapun, keputusan awal Selcat itu menunjukkan bahawa tiada bukti ada kegiatan rasuah dalam KSSB seperti didakwa oleh Manikavasagam.

Khalid berkata prosiding yang didengar Selcat berhubung dakwaan rasuah itu belum selesai dan ramai lagi saksi akan dipanggil memberi keterangan, jika ada keperluan.

Beliau juga berkata tindakan telah diambil terhadap pegawai KSSB yang didapati tidak efisien sebelum prosiding itu bermula.Bernama

No comments: