Tuesday, June 22, 2010

MB Negeri Sembilan dilindungi


KUALA LUMPUR, 22 Jun : Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook kesal jawapan Menteri Kewangan seolah-olah melindungi kepentingan politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan berhubung dakwaan penyeludupan wang RM10 juta ke United Kingdom pada Mac 2008.

Sebalik dalam jawapan kepada soalan lisan Anthony Loke, Kementerian Kewangan hanya memberitahu bahawa Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan undang-undang terhadap pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram serta membatalkan lesen pengurup terbabit.

"Saya menerima jawapan bertulis terhadap pertanyaan tersebut yang mengatakan Bank Negara Malaysia telah mengambil tindakan menyerbu dan memulakan siasatan terhadap pengurup-pengurup wang yang terlibat dengan aktiviti pengiriman wang secara haram.

"Hasil siasatan yang telah dijalankan mendapati bahawa terdapat kegiatan pengiriman wang ke luar negara secara haram oleh pengurup-pengurup wang yang menyalahi peruntukan undang-undang di bawah seksyen 30(1) Akta Pengurup Wang 1998. Selain itu juga jawapan tersebut menjelaskan lesen pengurup terbabit telah dibatalkan oleh Bank Negara.

"Jawapan tersebut juga memberitahu tindakan undang-undang juga boleh di ambil oleh Bank Negara terhadap mana-mana pengirim dana yang membuat penghantaran dana ke luar negara secara haram," kata beliau pada sidang media di lobi parlimen tengahari tadi.

Anthony Loke kesal dengan jawapan yang diberikan kerana tidak dijelaskan apakah bentuk tindakan yang telah dikenakan ke atas Mohamad.

"Apa yang saya kesalkan tidak ada jawapan terhadap tindakan yang telah dikenakan ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan yang telah melakukan kegiatan tersebut, kenapa perkara tersebut disembunyikan tanpa diambil tindakan.

"Kenapa jika kes yang terlibat dengan mereka daripada golongan atasan dilihat mempunyai kepentingan dan tidak dikenakan apa-apa tindakan malah kes tersebut hanya senyap begitu sahaja.

"Persoalannya kenapa hanya pengurup wang sahaja dikenakan tindakan jika didapati bersalah, mana tindakan diambil ke atas Menteri Besar tersebut yang jelas beliau yang melakukan pengiriman wang.

"Menteri Kewangan perlu memberi penjelasan terhadap persoalan tersebut, jangan membiarkan perkara itu tanpa sebarang jawapan. Kita mahu tahu status sebenar. Jika benar Mohamad Hassan tidak bersalah beritahu atau sebaliknya perlu dijelaskan, jangan biarkan kes tersebut terus menjadi tanda tanya.

"Melihat kepada jawapan tersebut timbul beribu persoalan kenapa kerajaan senyap tanpa tindakan, adakah kerana jenayah dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepentingan politik tindakan dinafikan, sedangkan semua tahu penglibatan Menteri Besar Negeri Sembilan dalam jenayah menyeludup wang keluar negara dalam jumlah yang besar," jelasnya lagi.

Sebelum itu, Anthony Loke pernah membangkitkan isu mengenai kaitan Menteri Besar Negeri Sembilan dengan Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd sebuah syarikat yang dibatalkan lesen oleh Bank Negara kerana terlibat dalam pemindahan wang ke luar negara dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.

Menurut maklumat yang diperolehi daripada sumber dalaman, Bank Negara Malaysia mempunyai cukup bukti untuk mengaitkan Menteri Besar itu dalam pemindahan wang tersebut.

Semasa ucapan penggulungan dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad terkedu dan hanya mengatakan beliau tidak berminat untuk menjawab soalan pembangkang mengenai dakwaan penglibatan beliau dalam penyeludupan wang ke luar negara.

Beliau bagaimanapun mengakui kini sedang di siasatan oleh pihak berkuasa tanpa memberi butiran lanjut mengenainya.

No comments: