Tuesday, June 1, 2010

Pendekatan PAS Pahang tiada diskriminasi kaum


BANDAR JERANTUT , 1 Jun : Aktiviti gotong-royong pembersihan tanah perkuburan kaum India di bandar ini adalah kaedah dan pendekatan tersendiri PAS dalam usaha meningkatkan hubungan, menjaga kebajikan dan menunjukkan tiada diskriminasi kaum berlaku.

Yang Di Pertua PAS Jerantut, Dr Hamzah Jaafar berkata, Dewan Himpunan Penyokong PAS melihat usaha pembersihan kubur kaum India itu satu pendekatan baik membantu dari sudut kebajikan mereka.

Menurutnya, aktiviti itu juga menunjukkan PAS sedia bekerjasama dengan pelbagai kaum lain tanpa ada perbezaan, dengan kaedah itu sendiri adalah tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan.

“Dewan Penyokong PAS dimaklumkan permohonan kepada parti politik mewakili kaum India untuk diberi sedikit peruntukan bagi aktiviti gotong-royong itu tidak diendahkan dan ditolak.

“Apabila masalah itu diajukan kepada PAS kami merasakan tiada alasan mengapa permohonan untuk aktiviti kebajikan yang menjadi usaha murni itu ditolak, lantas mengambil pendekatan untuk turut serta bergotong-royong bersama membersihkan persekitaran kubu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dr Hamzah berkata, dengan hubungan erat, kerjasama dan aktiviti gotong-royong dijalankan bukan sahaja meringankan beban mereka namun lebih utama ia meyakinkan lagi kaum India bahawa Islam yang dibawa PAS amat mengambil berat hal ehwal kebajikan dan kemanusiaan.

Menurutnya, keprihatinan itu adalah tanpa mengira kaum, agama dan kepercayaan memandangkan ia juga menjadi sebahagian daripada tuntutan dalam agama untuk saling bantu membantu dan hormat menghormati.

“Dengan usaha dilakukan diharapkan hubungan baik antara PAS dengan kaum India akan dapat ditingkatkan dan hal ehwal kebajikan kaum itu akan dapat dijaga bersama,” katanya.

Turut hadir menjayakan aktiviti gotong-royong itu adalah Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India, N Balasubramaniam dan Pengerusi Kuil, Ramakrishnan.SH

No comments: