Tuesday, June 1, 2010

Perak perlu contohi kerajaan PR


PARIT BUNTAR, 1 Jun : PAS Parit Buntar mengalu-alukan tindakan Kerajaan Pulau Pinang dan Selangor mencontohi Kerajaan Kelantan tidak membenarkan mana-mana premis beroperasi di negeri itu untuk menjalankan aktiviti perjudian atau pertaruhan bola sepak.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, kerajaan Pakatan Rakyat (PR) mengambil langkah tegas sedemikian kerana menimbangkan keburukan akibat daripada kegiatan itu terhadap masyarakat.

“Saya dimaklumkan kerajaan Kedah juga akan mengikuti langkah yang diambil oleh Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah.

“Walaupun lesen perjudian bola sepak telah dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai kuasa menghalang aktiviti itu daripada beroperasi di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, semalam.

Fakhrurrazi berkata, Kerajaan Negeri bawah pimpinan BN juga sepatutnya memberi arahan kepada semua PBT supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana pihak bagi aktiviti perjudian bola sepak.

“Sungguh memalukan umat Islam, apabila Kerajaan Negeri yang diterajui umat Islam masih membenarkan operasi judi bola yang sudah jelas haram hukumnya.

“Sepatutnya, pemimpin UMNO yang memimpin negeri merasa malu dengan Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui bukan Islam,” katanya.

Menurutnya, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang tahu hukum haram judi perlu mengarahkan semua PBT supaya tidak mengeluarkan lesen perniagaan bagi aktiviti perjudian bola sepak.

“Tindakan kerajaan BN mengeluarkan lesen perjudian bola sepak adalah langkah yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.

“Tiada jaminan bahawa pemberian lesen perjudian itu akan menghapuskan perjudian haram,” katanya.

Beliau berkata, tindakan kerajaan BN itu akan memburukkan lagi penyakit sosial apabila semakin ramai orang yang mahu cepat kaya terutama golongan miskin yang sanggup menggunakan wang gaji atau simpanan untuk membuat pertaruhan.SH

No comments: