Tuesday, July 20, 2010

Hubungan istana, kerajaan Kedah baik


POKOK SENA , 20 Julai : Hubungan yang baik dipupuk antara Kerajaan Negeri Kedah dan pihak Istana menjadi faktor kukuh kepada kestabilan pemerintahan Kerajaan Negeri membolehkan ia merencanakan pembangunan di samping tidak mengabaikan hal-hal kebajikan di negeri ini.

Timbalan Speaker, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Ahmad Izzat Shauki berkata, Kerajaan Negeri tidak boleh meminggirkan Istana kerana kedua-duanya mempunyai hubungan yang berkait rapat antara satu sama lain.


Menurutnya, segala maklumat perkembangan semasa di negeri akan sentiasa dalam pengetahuan Sultan Kedah dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

“Kerajaan PR di Kedah sentiasa menjaga hubungan baik dengan istana kerana kita tahu sesebuah Kerajaan Negeri harus mempunyai hubungan yang rapat dengan Istana kerana Sultan adalah ketua dan penaung kepada rakyat di sesebuah negeri.

“Pendekatan yang mesra ini juga turut kita amalkan dengan pekerja Kerajaan Negeri kerana kita faham, tanpa mereka kita tidak mampu berdiri sendiri dalam melancarkan pentadbiran negeri,” katanya kepada Sinar Harian selepas hadir pada Majlis Ceramah Israk Mikraj di Kampung Lubuk Pak Samad, dekat sini.

Ahmad Izzat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lada berkata, hubungan yang baik di semua peringkat ini juga turut memudahkan pihak Kerajaan Negeri menyusun atur pelbagai program dan kebajikan rakyat antaranya menurunkan beberapa peratusan jenis cukai antaranya cukai tanah yang dilihat membebankan rakyat.

“Pernah beberapa pihak mempertikaikan keputusan Menteri besar yang menurunkan peratusan cukai sehingga hampir RM50 juta yang dilihat sebelum ini adalah hasil keuntungan Kerajaan Negeri dan menganggap keputusan tersebut hanya memakan diri sendiri sahaja.

“Namun Menteri Besar membuktikan bahawa Kerajaan Negeri mampu memperoleh hasil lain yang tidak membebankan rakyat antaranya cukai batuan, sumbangan keuntungan anak syarikat negeri dan hasil balak,” katanya.

Menurutnya, beliau mengakui PR tidak mempunyai pengalaman memerintah sesebuah kerajaan, namun selepas mengambil alih sejak Pilihan Raya Umum yang lalu pelbagai nikmat kebajikan mampu dilaksanakan.

“Terbaru, hasil daripada keuntungan negeri kita telah laksanakan Skim Kafalah iaitu pemberian sebanyak RM500 kepada semua waris penduduk tanpa mengira kaum yang telah meninggal dunia dan layak dan selepas ini, sekiranya semakin banyak hasil yang diperoleh, kita percaya makin banyak program kebajikan yang mampu kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Kedah juga kini mampu menikmati bayaran air yang murah iaitu sekitar 40 sen semeter padu dan bayaran tersebut adalah kedua paling murah di negara ini selepas Pulau Pinang.SH

No comments: