Tuesday, July 20, 2010

Kuasa Melayu kekal walau Umno kalah


KUALA LUMPUR , 20 Julai : Orang Melayu tidak perlu risau dan bimbang kepada kuasa orang Melayu kerana ia akan tetap kekal menerusi kepimpinan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata kuasa Melayu akan lebih mulia dan dihormati tanpa Barisan Nasional.


Katanya, beliau menghargai kenyataan terbuka Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa kuasa orang Melayu di bawah pimpinan UMNO akan hilang.

"Orang Melayu tidak perlu risau dan bimbang kepada kuasa orang Melayu akan tetap kekal malah akan lebih mulia dan dihormati tanpa Barisan Nasional,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Pas di sini semalam.

Beliau mengulas berhubung kerjasama antara PAS dan UMNO dan kesediaan Harrusani menjadi perantara bagi pertemuan pemimpin kedua parti itu.

Dalam pada itu, PAS menafikan kenyataan Harrussani bahawa terdapat wakil daripada parti itu menemuinya untuk menjadi orang tengah dan menganggapnya sebagai satu pembohongan.

Katanya, PAS tidak pernah memutuskan untuk meminta Harussani menguruskan pertemuan PAS dan UMNO bagi membincangkan penyatuan orang Melayu dan Islam.

“Kenyataan Harussani itu satu fitnah dan pembohongan. Tidak ada, beliau cuba memburukkan dan menimbulkan keraguan di kalangan rakyat seolah-olah ada pemimpin PAS yang hendak membelakangkan parti dalam isu ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut serta dalam sidang media tersebut mengulangi pendirian PAS tidak pernah membincangkan isu kerjasama dengan UMNO.

“Kami sudah memutuskan sudah tutup bab perbincangan mengenai kerjasama politik dengan UMNO. Kalau PAS ada membincangkan soal ini, sudah pasti saya dan Datuk Mahfuz sudah tahu,” katanya.

Sabtu lalu, Harussani mendedahkan bahawa beliau mahu terus menyatupadukan orang Islam dan Melayu di negara ini walaupun terdapat pihak yang tidak menyenangi usaha murni beliau ini.

Harussani berkata, terdapat pemimpin kedua-dua parti Melayu berkenaan yang datang berjumpa beliau baru-baru ini bagi membincang dan meminta pandangan beliau berhubung cara untuk menyatupadukan kedua-dua parti tersebut.SH

No comments: