Monday, July 19, 2010

Pendirian PAS teguh tidak seperti Umno


SENAI , 19 Julai : Kenyataan PAS tidak konsisten menyatakan pendirian berhubung jalinan kerjasama dengan UMNO satu anggapan tidak benar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, sebaliknya UMNO tidak konsisten kerana kenyataan UMNO bersedia bekerjasama dengan PAS diusulkan parti itu sendiri dan PAS teguh dengan keputusan kerjasama akan dicapai jika UMNO sudi menukar dasarnya.


“Benda ini sengaja disalah erti, diambil sebagai politik ’mileage’ oleh UMNO, dan PAS tetap dengan pendiriannya. Datuk Nik Aziz seorang yang lurus dalam berkata-kata, jalinan kerjasama politik hanya boleh dicapai dengan persetujuan dasar yang sama, dan sebagai Menteri Besar Kelantan beliau mahukan pembelaan yang adil dari Kerajaan Pusat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dzulkefly berkata, selagi UMNO tidak menukar dasar daripada kepimpinan nasionalisme dan kebangsaan kepada dasar Islam yang dituntut PAS, kerjasama politik ini tidak dapat direalisasikan.

Mengambil contoh kerjasama Pakatan Rakyat, yang dianggotai PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima konsep keadilan dalam Islam dan kerjasama politik itu dapat dijalinkan.

Beliau berkata, kepimpinan UMNO tidak mendapat mesej yang jelas mengenai kenyataan Nik Aziz, kerjasama politik yang diutarakan itu membabitkan kerjasama antara parti UMNO dan PAS.

Namun mengenai ingin jalinkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Pusat sahaja, itu membabitkan Nik Aziz sebagai Menteri Besar dan Kerajaan Pusat.

Kelmarin dalam kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein melihat PAS kini tersasar daripada perjuangan asal apabila lebih cenderung menjayakan agenda peribadi seorang pemimpin sahaja iaitu Nik Abdul Aziz.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika mengulas kenyataan Mursyidul Am itu yang bersetuju untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin asalkan perbincangan itu tidak menjurus kepada perpaduan antara PAS dan UMNO.SH

No comments: