Friday, July 9, 2010

PR kekal kerusi bertanding di Selangor


KUALA LUMPUR, 10 Julai : Pakatan Rakyat Selangor akan mengekalkan status quo jumlah kerusi ditandingi dalam pilihan raya umum ke-13, kata Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Dr Hasan Ali.

Formula pembahagian kerusi itu dijangka dikekalkan melainkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah kerusi berdasarkan proses persempadanan semula, yang dijangka bermula selepas Mac depan.

Bagaimanapun penganalisis melihat kemungkinan pertambahan kerusi tidak akan menjadi kenyataan ketika wujudnya spekulasi kemungkinan pilihan raya umum akan diadakan lebih awal berbanding tempoh mandat semasa berakhir Mei 2013.

Hasan yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak kemungkinan akan ada pertukaran kerusi yang bakal ditandingi oleh PAS-DAP-PKR atas pertimbangan faktor strategik.

“Saya ada jumpa dan bincang dengan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini (semalam), dan beliau memberitahu bahawa mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat telah memutuskan yang jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh komponen Pakatan Rakyat tidak berubah, kekal sebagaimana diputuskan dan ditandingi dua tahun lalu... status quo akan kekal kali ini,” kata Hasan.

“Bilangan kerusi ditandingi tidak berubah, cuma mungkin ada pertukaran kerusi atas faktor strategik... kalau ada ia akan dibincangkan kemudian,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan dari PAS di sini semalam.
Seramai 67 orang menerima watikah pelantikan daripada Hasan.

PAS mengadakan pertemuan dengan Khalid yang juga Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor.
Katanya, ia adalah pertemuan berkala antara Menteri Besar dan kepimpinan PAS.

Pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu PAS dan PKR masing-masing bertanding 20 kerusi manakala DAP pula meletakkan calon di 16 kawasan.

PAS memenangi lapan daripada 20 kerusi yang ditandinginya.

Sehubungan itu Hasan berkata, PAS meletakkan sasaran untuk menambah kerusi untuk dimenangi sekali ganda berbanding prestasi dua tahun lalu.

“Dua tahun lalu kami memenangi lapan kerusi dan pada pilihan raya umum nanti, kami meletakkan sasaran memenangi 16 hingga 17 kerusi,” katanya lagi.

Hasan menjelaskan PAS meletakkan sasaran untuk menawan enam kerusi yang keciciran dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi dan tiga lagi kerusi kurang daripada 2,000 undi.

“Jadi saya meletakkan sasaran daripada enam kerusi yang kita kalah bawah 1,000 undi dan tiga lagi kerusi bawah 2,000 undi... bermakna kita boleh menang sehingga 17 kerusi,” katanya.

Pakatan memenangi 36 daripada 56 kerusi yang ditandingi pada 8 Mac 2008.

Kerusi-kerusi dimenangi PAS terdiri daripada Sijangkang, Selat Kelang, Lembah Jaya, Chempaka, Bangi, Gombak Setia, Hulu Kelang dan Meru.

Hasan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia.

Mengenai sasaran menambah pengundi baru, Hasan berkata, pihaknya telah menyaksikan perkembangan yang menarik dan positif sepanjang sebulan lalu iaitu sejak selepas Muktamar Tahunan PAS Ke-56 di Kota Baru.

“Saya tiada angka tepat sekarang tetapi berdasarkan perkembangan di Gombak, di mana kami dapat menambah 700 pengundi sepanjang sebulan lalu, saya merasakan perkembangan ini juga dilihat di kawasan-kawasan lain,” katanya.

“Ini perkembangan baik sepanjang bulan lalu,” katanya.

Ketika muktamar bulan lalu, Ketua Lajnah Jabatan Pilihan Raya Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, PAS Selangor dan Kedah perlu melipatgandakan usaha memikat minimum 50 peratus daripada 1.2 juta orang yang belum mendaftar sebagai pengundi baru di negeri itu jika mahu Pakatan Rakyat mengekalkan tapak kuasa di kedua-dua negeri tersebut.

“PAS perlu berusaha untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 50 peratus pengundi baru... kerana kini ada kira-kira 700,000 orang yang masih belum mendaftar sebagai pengundi di Selangor dan 300,000 orang lagi di Kedah.

“Jadi, kita perlu meletakkan sasaran untuk mendaftarkan separuh daripada mereka jika mahu menarik pengundi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya,” katanya.

No comments: