Friday, July 9, 2010

PR mahu sidang DUN aman


IPOH, 10 Julai : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat (PR) berharap tidak lagi berlaku kejadian tidak diingini pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) 3 Ogos ini.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, PR berharap kerajaan Barisan Nasional (BN) memberikan kerjasama dalam mewujudkan suasana aman.

“Kami mengadakan pertemuan malam semalam meluahkan harapan supaya persidangan kali ini bebas daripada sebarang insiden.

“Demi rakyat, kami berharap kerajaan BN akan menjawab soalan dibangkitkan wakil rakyat PR dan membenarkan perbahasan dalam suasana bebas,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurut Koo Ham, BN juga perlu menghentikan beberapa tindakan seperti membenarkan polis mengawal dan menyerang sehingga mewujudkan suasana tegang serta menakutkan.

“Kami minta jawab soalan dikemukakan tanpa alasan kukuh kononnya dihantar oleh speaker DUN yang sah, V Sivakumar kepada Setiausaha DUN,” katanya.

Katanya, undang-undang tidak melarang soalan dihantar dengan apa cara sekalipun termasuk menerusi emel, pos, faks, budak pejabat atau sesiapa sahaja.

Koo Ham berkata, PR menuntut supaya mikrofon di meja ADUN PR tidak lagi dimatikan ketika mengajukan atau membahaskan usul.

“Selain itu, semua media perlu dibenarkan membuat liputan, tidak hanya media BN sahaja boleh berada dalam dewan, sedangkan pengamal media selebihnya dikunci dalam bilik yang mana sistem audio tidak dapat didengari,” katanya.

Katanya, kes itu menjadi sindiran kepada demokrasi di Perak.

Kata beliau, wakil PR akan meneruskan kesinambungan membawa usul dalam Sidang DUN bulan depan.

Dalam pada itu, PR tetap menganggap Sivakumar sebagai speaker yang masih sah kerana apa pun alasannya, Datuk R Ganesan tetap speaker haram.

“Persidangan kali ini akan berjalan lancar tanpa mempersoalkan kesahihan speaker dan Sivakumar juga akan mengeluarkan notis bagi memanggil Persidangan DUN pada 3 Ogos ini.

“Demi kesejahteraan rakyat Perak, Sivakumar dan semua ADUN PR bersetuju membenarkan Ganesan mempengerusikan mesyuarat pada kali ini meskipun bukan sebagai speaker kerana kesahihan beliau hanya boleh ditentukan oleh undang-undang.

Beliau berkata, dengan cara itu, sesi persidangan dapat berjalan lancar bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.SH

No comments: