Saturday, July 17, 2010

Rakyat tak terima alasan kenaikan



PARIT BUNTAR, 18 Julai : Rakyat yang berpendapatan rendah akan menangung kesan paling teruk berikutan kenaikan harga petrol, diesel, gula dan gas LPG .

Perdana Menteri mengumumkan kenaikan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak 5 sen manakala RON97 tidak lagi diberikan subsidi . Harga gula pula naik 25 sen kepada RM1.90, dengan gas LPG naik sebanyak 10 sen sekilogram.

Ketua Penerangan PAS Parit Buntar Fakhrurrazi Haji Khalid berkata, walaupun Perdana Menteri memberi alasan kenaikan ini adalah demi mengelakkan pengaliran subsidi kepada sasaran yang salah, namun akhirnya beban akan ditanggung oleh rakyat berpendapatan rendah.

“ Kerajaan perlu menjelaskan secara tepat bagaimana penjimatan dari subsidi ini akan dibelanjakan untuk faedah golongan berpendapatan rendah.

“ Masih kita ingat ketika kenaikan harga petrol dan diesel secara besar-besaran beberapa tahun dahulu, dijanjikan wang penjimatan akan digunakan untuk memajukan pengangkutan awam tapi janji tinggal janji” katanya yang menyokong pandangan seorang pemimpin PAS Terengganu

Fakhrurrazi berkata, kali ini rakyat dijanjikan pula penjimatan subsidi akan diagihkan kepada bidang pelajaran dan kesihatan.

“ Rakyat tidak akan menerima lagi janji kerajaan kerana semua sudah maklum peningkatan kos pendidikan dan belanja untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital kerajaan.

“Rakyat di bawah semakin tidak selesa dengan kenaikan harga petrol dan diesel yang akan menyebabkan kos barangan lain meningkat,"katanya

Menurutnya, alasan kerajaan bahawa kenaikan ini supaya penyeludupan tidak berlaku juga tidak boleh diterima.

“Apa jaminan selepas kenaikan ini penyeludupan tidak akan berlaku lagi? Kalau penyeludupan masih berlaku, apakah harga akan dinaikkan lagi?

“ Yang pasti rakyat bawahan dipaksa memikul beban ekoran ketidakmampuan pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang dan membendung panyeludupan” katanya

Fakhrurrazzi berkata, petrol dan diesel yang diisi ke dalam kenderaan adalah berdasarkan perjalanan dan keperluan.

“ alasan supaya rakyat tidak menggunakannya secara berlebihan seolah-olah menuduh rakyat secara suka-suka membazirkan petrol dan gas. Murah sangatkah harga bahan bakar di Malaysia sehingga dibazirkan sewenangnya oleh rakyat? .

“ Tak pernah kita dengar kerajaan menjalankan kempen jimatkan penggunaan petrol dan gas . Yang kita dengar kempen jimatkan elektrik dan air “ katanya

No comments: