Thursday, July 15, 2010

Umno tertekan



KUALA LUMPUR, 15 Julai : Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit pembaharuan penerbitan akhbar Suara Keadilan, Harakah dan Roket jelas membuktikan UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam keadaan tertekan sekarang.

Menurutnya, tindak-tanduk KDN ini boleh digambarkan sebagai isyarat bahawa pilihan raya umum akan datang diadakan dalam tempoh terdekat dan ini adalah usaha tersusun menghalang maklumat daripada sampai kepada ahli-ahli.


“Walau bagaimanapun, kita sepakat bahawa kita akan mengikut proses yang dikehendaki oleh KDN dan kita juga sudah menjawab surat tunjuk sebab yang diberi kepada kita.

“Selain itu, saya juga menyeru agar perjumpaan dengan Menteri KDN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dipercepatkan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Ibu Pejabat Ketua Pembangkang di Parlimen semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut menegaskan KDN seharusnya memberi ruang kepada kebebasan media sehingga jangan menunjukkan kepada dunia bahawa negara kita mengamalkan sistem autokratik.

“Saya juga tidak tahu sama ada tindakan Najib dan KDN ini ada kena mengena dengan arahan APCO, tetapi apa yang saya boleh cakap UMNO sekarang jelas tertekan,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Hishammuddin yang memuji kerjasama Harakah, Anwar berkata KDN seharusnya membenarkan permit penerbitan Harakah diteruskan jika pujian itu benar-benar ikhlas.


“Saya sambut baik pujian tersebut jika beliau (Hishammuddin) benar-benar ikhlas,” katanya.


Sementara itu, Anwar turut menjelaskan PR sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya negeri Sarawak dengan melancarkan jentera parti pada 18 Julai ini.
SH

No comments: