Sunday, August 1, 2010

Kuasa Melayu berpindah dari Umno kepada PAS

bahrain.jpg Bahrain picture by paspb

PARIT BUNTAR , 1 Ogos : Orang Melayu diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa orang Melayu akan hilang kuasa sekiranya Pakatan Rakyat yang terdiri dari muafakat parti PAS, PKR dan DAP memerintah negara.

Pengarah Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Parit Buntar Adnan Abd Rahman berkata, berdasarkan fakta menunjukkan kuasa Melayu terbukti lebih kuat dengan kawasan parlimen yang dulunya milik MIC dan MCA telah dimenangi oleh calon-calon Melayu dari PAS dan PKR.

“ Sebenarnya, ia adalah tidak benar sama sekali hujah yang mengatakan bahawa DAP menjadi ancaman besar kerana DAP hanya bertanding 35 kerusi daripada 222 kerusi parlimen.

“ Jika DAP menang semua kerusi sekalipun DAP masih tidak boleh memerintah negara ini. Malah DAP pun faham teras negara ini, bahawa teras kepelbagaian mestilah dipegang oleh orang Melayu “ katanya

Adnan berkata, sebenarnya orang Melayu tidak hilang kuasa kerana DAP tidak bertanding di kerusi yang majoritinya orang Melayu.

“ Sebaliknya, Umno yang akan hilang kuasa kerana calon Umno dalam Barisan Nasional akan bertanding dengan calon Melayu dalam PAS dan PKR.

“ Saya beri contoh kerusi parlimen Parit Buntar dalam PRU ke 12 , calon PAS yang menang mengalahkan calon Umno. Kerusi Melayu di parlimen tetap tidak berkurang “ katanya yang mengemukakan hujah berdasarkan fakta.

Menurutnya, dakwaan kuasa Melayu akan hilang di dalam parlimen hanyalah dakyah Umno untuk berbaik-baik dengan PAS.

“ Umno juga tahu hakikat bahawa mereka bertanding di kerusi yang sama dengan PAS. Usaha berbaik-baik dengan PAS hanyalah taktik mereka untuk memerangkap PAS.

“ Usaha untuk berbaik-baik dengan PAS adalah strategi Umno untuk merampas kembali kerusi yang PAS rampas daripada Umno dalam PRU ke 12 yang lalu” katanya

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa (gambar) berkata, kuasa orang Melayu tidak akan hilang hanya berpindah dari Umno kepada PAS dan calon Melayu PKR.

“ Kuasa orang Melayu akan bertambah kuat lagi jika PAS memenangi lebih banyak kerusi yang ditandingi menentang calon Umno dalam PRU ke 13 nanti.

“ Inilah yang amat ditakuti Umno, sebab itu mereka menyebarkan dakyah kuasa Melayu akan hilang, sebenarnya kuasa Umno yang akan hilang” katanya

No comments: