Sunday, August 1, 2010

Tiada halangan pilihanraya berasingan





























KUALA LUMPUR, 1 Ogos :
Ketiga-tiga komponen Pakatan Rakyat (PR) tiada halangan jika kerajaan-kerajaan negeri pimpinannya termasuk di Selangor mahu menggunakan mandat lima tahun dengan sepenuhnya sebelum membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang akan membuka laluan kepada pilihan raya umum negeri.


Kelmarin, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengesahkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal jikapun Barisan Nasional (BN) mahu membubarkan Parlimen untuk pilihan raya umum tergempar.

Khalid menjelaskan, pentadbirannya berminat untuk memutuskan soal tarikh pilihan raya umum negeri apabila melangkah ke tahun kelima mandat.

Ketiga-tiga ketua pilihan raya PKR, DAP dan PAS memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tiada halangan jika PR negeri mahu menggunakan pendekatan sendiri bagi memanggil pilihan raya negeri, sekali gus tidak memenuhi langkah BN.

Pengerusi jawatankuasa pilihan raya DAP kebangsaan Tan Kok Wai berkata, pihaknya tiada halangan dan tidak menjadi satu masalah jika kerajaan negeri Selangor mahu memutuskan demikian.

“Jika mereka memutuskan, sudah tentu kami tidak akan membantah... itu adalah hak mereka, saya tiada halangan,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh yang memberikan pandangan yang sealiran dengan Tan berkata, kerajaan negeri perlu diberi peluang untuk berfungsi mengikut mandat yang diberikan untuk melaksanakan program dan janji pilihan raya.

“Kita juga perlu memberikan peluang kepada setiap rakyat untuk menikmati dan merasai tempoh mandat sepenuhnya supaya memahami apa yang kerajaan negeri boleh melakukan untuk pengundi mereka.

“Lagi pun kerajaan negeri semasa (Pakatan) baru dua tahun, dan tidak mungkin dapat melaksanakan kesemua yang dijanjikan dan dihasratkan dalam tiga tahun (jika Parlimen dibubarkan oleh BN),” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Malah menurut beliau, BN terus-menerus mendakwa bahawa kerajaan negeri Selangor tidak menunaikan apa yang telah dijanjikan dua tahun lalu.

“Jadi mustahil baru tiga tahun dapat melaksanakan semua, jadi kita wajar memberi peluang kepada Pakatan menghabiskan mandat sepenuhnya supaya ada lapangan saingan yang adil dan seimbang (dalam pilihan raya),” kata Ahli Parlimen Kuantan ini.

Ketika ditanya sama ada idea membolehkan kerajaan-kerajaan negeri pimpinan PR mengadakan pilihan raya umum negeri secara berasingan sudah dibincangkan, Fuziah berkata, perkara itu pernah dibincangkan tetapi belum ada kata putus yang muktamad.

“Apa yang penting kemungkinan mengadakan pilihan raya berasingan boleh dan dibenarkan di bawah undang-undang,” katanya.

Kira-kira dua minggu lalu beliau berkata PR tidak akan bertanding jika pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Lajnah Jabatan Pilihan Raya PAS pusat Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata walaupun langkah mengadakan pilihan raya umum negeri secara berasingan ada kebaikan dan keburukan, terserah kepada kerajaan-kerajaan negeri PR untuk mengambil keputusan masing-masing.

“Terserah kepada kerajaan negeri masing-masing kalau hendak bubarkan DUN atau tidak seiring dengan BN (jika bubar Parlimen), dan kami bersedia untuk menghadapi apa jua kemungkinan,” kata beliau.

Kata beliau, oleh kerana perkara ini sudah timbul maka PR pusat akan membincangkan dalam mesyuarat akan datang.

“Oleh kerana perkara ini sudah timbul, kami di pusat akan membincangkan nanti,” katanya.

Dalam pertemuan khas dengan The Malaysian Insider dua minggu lalu, sambil tidak menolak kemungkinan pilihan umum pusat dan negeri ke-13 boleh diadakan berasingan ekoran kepimpinan parti yang berbeza, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih yakin kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat akan melangsungkannya serentak.

SPR meletakkan harapan agar trend mengadakan pilihan raya umum serentak di kedua-dua peringkat negeri dan pusat yang diamalkan sekarang, kecuali di Sarawak, akan berterusan walaupun negara berhadapan dengan tsunami politik Mac 2008.

Berdasarkan peruntukan undang-undang, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tidak menolak kemungkinan pilihan raya umum membabitkan beberapa negeri akan diadakan berasingan berbanding apa yang disaksikan di Semenanjung sejak negara merdeka.

No comments: