Wednesday, August 11, 2010

Papan tanda lambang PAS wujud


BATU 9 , 12 Ogos : PAS cawangan Batu 9 Kampung Tengah mengadakan gotong-royong memasang papan tanda PAS Cawangan di tepi jalan raya Klang-Sabak Bernam berhampiran Lorong Menanti 1, Batu 9, Kampung Sungai Tengi Kiri.

Setiausahanya, Mohd Faizal Mohd Barja berkata, tujuan menaikkan semula papan tanda PAS Cawangan yang baru tersebut adalah untuk menunjukkan lambang kewujudan PAS cawangan di kampung tersebut.

Menurutnya, selain itu ia boleh dilihat orang ramai yang melalui jalan tersebut terutamanya yang akan pulang ke kampung bagi menyambut Ramadan dan Hari Raya.

“Papan tanda tersebut dipasang secara gotong-royong oleh ahli PAS cawangan Batu 9 Kampong Tengah.

“Sebelum ini PAS Cawangan pernah memasang papan tanda berhampiran tempat sama, bagaimanapun terpaksa dibuka pada tahun 2005 kerana terlibat dengan kerja pembinaan jalan raya ketika itu,” katanya.

Beliau berkata, PAS cawangan ini ditubuhkan pada tahun 1999 dan diluluskan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan pada tahun 2000 dengan keahlian PAS Cawangan ketika itu berjumlah seramai 25 orang sahaja.

“Kini, setelah 10 tahun, ia semakin kukuh dan mendapat sokongan daripada penduduk Kampong Sungai Tengi Kiri dengan keahlian seramai hampir 100 orang, yang terdiri dari kalangan pelbagai golongan termasuk pemuda dan Muslimat.

“Cawangan ini merangkumi tiga lorong iaitu Lorong Menanti 1, Lorong Menanti 2 dan Lorong Menanti 3 selain terdapat beberapa taman perumahan yang terletak di Lorong Menanti 1 seperti Taman Masria, Taman Wawasan dan Taman Tanjong Karang,” katanya.

Mohd Faizal yang juga merangkap Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berkata, ahli PAS cawangan juga aktif menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan terutamanya Muslimat PAS cawangan seperti kelas pengajian agama, kelas fardu ain dan pelbagai aktiviti lain.

Dalam pada itu, antara yang membantu memasang papan tanda tersebut Ketua PAS Cawangan, Mohd Sahri Jabbar, Naib Ketua PAS cawangan, Tasuki @Mukri Akat, Ketua Jawatankuasa Pemuda PAS Cawangan (JPC), Muhd Sobirin Omar, Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Cawangan, Mohd Sofian Mohd Kalil dan Ahli PAS Cawangan, Ithnain Salleh.SH

No comments: