Monday, August 23, 2010

Pemilik rumah rakyat ditipu kontraktor


PARIT BUNTAR, 24 Ogos : Sudah dua kali Ramadan dan Aidilfitri berlalu namun aduan penduduk terhadap pembinaan yang tidak sempurna terhadap rumah mesra rakyat milik mereka masih menemui jalan buntu.

Pemilik rumah di Kampung Raja Bashah, Zuratun Sharwana Saidin berkata, dia ingin menarik perhatian pihak berkenaan terhadap kerja pembinaan yang terbengkalai sejak 2008.


Menurutnya, dia melawat ke rumah yang baru siap dibina itu dan terkejut apabila melihat pembinaan lantai di bahagian anjung dan sisi longkang tidak sekata.

“Bertambah terkejut apabila mendapati dinding rumah retak di bahagian luar dan dalam, rekahan terdapat di dalam bilik ketiga,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pemasangan paip juga dilakukan sambil lewa dan tidak sempurna kerana jika mengikut garis panduan pembinaan sebenar paip untuk laluan utama air perlu menggunakan paip poly bukannya UPVC.

“Paip ini pula dipasang di sisi yang sepatutnya di dalam di dinding supaya ia selamat dan bertahan lama,” katanya.

Zuratun berkata, selain itu, UPVC untuk pembumian elektrik juga dipasang sedemikian di bahagian hadapan rumah.

“Sementara paip pembuangan najis dari bilik air di bilik utama pula menggunakan UPVC yang dipasang di atas paras lantai dan tidak di bawah lantai,” katanya.

Sementara itu ayahnya, Saidin Ismail, 75, berkata, dia mendakwa kontraktor berkenaan melarikan bayaran sebanyak RM1,350 yang dikatakan untuk penyambungan bekalan elektrik dan air.

Menurutnya, anaknya sendiri pergi ke pejabat Lembaga Air Perak dan Tenaga Nasional Berhad di Pekan Bagan Serai untuk mendapatkan penjelasan dan pegawai bertugas memberi tahu jumlah yang diperlukan tidak sebanyak yang diambil pihak kontraktor terbabit.

“Saya rasa kami tertipu dan sedih diperlakukan sedemikian yang mana bantuan yang dihulurkan kerajaan diselewengkan kontraktor tidak bertanggungjawab itu.

“Saya amat berharap pihak berkenaan dapat bertindak lebih tegas serta mencari jalan penyelesaian bagi membolehkan anak saya tinggal di rumah miliknya sendiri,” katanya.

Katanya, hampir tiga tahun rumah ini terbengkalai tambahan pula tunggakan mencecah RM1, 800 dan berharap pihak berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalah berkenaan dengan segera.SH

No comments: