Tuesday, August 3, 2010

Tahan aktivis ISA : Imej Malaysia semakin teruk




















SHAH ALAM, 3 Ogos :
Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) mengutuk tindakan polis menahan 38 aktivis yang menyertai perhimpunan aman membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersempena 50 tahun akta zalim itu dikuatkuasakan di negara ini.


Pegawai Publisiti CIJ, Chuah Siew Eng berkata, penahanan dan tindakan polis tersebut telah menyebabkan imej Malaysia bertambah buruk, apatah lagi negara ini merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).

"Penangkapan warganegara yang berhimpun secara aman membantah satu undang-undang yang melanggar hak asasi iaitu penahanan tanpa bicara (ISA) telah menjejaskan imej Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bersatu.

"Respon sedemikian juga mendatangkan nama buruk kepada Perdana Menteri Najib Razak, yang mencanangkan konsep 1Malaysia yang menggesa antara lain, menghormati kepelbagaian pendapat,"ujar beliau.

Dalam kejadian 1 Ogos lalu, polis bertindak ganas di lapan tempat perhimpunan iaitu di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan dengan menahan kira-kira 36 peserta perhimpunan tersebut. Antara yang ditahan termasuk wanita dan dua wartawan dari Harakah yang sedang menjalankan tugas.

Menurut Siew Eng, tindakan biadap polis menyuraikan perhimpunan anjuran Gabungan Mansuhkan ISA dan Suara Rakyat Malaysia itu adalah tidak wajar memandangkan pihak penganjur telah mengambil pendekatan dan langkah berjaga-jaga berhubung soal keselamatan peserta dan orang ramai.

Menurutnya lagi, adalah tidak munasabah perhimpunan program nyalaan lilin itu diperlihatkan sebagai satu bentuk ancaman kepada ketenteraman dan keselamatan negara.

"Di Selangor dan Pulau Pinang, polis rusuhan menganggu perhimpunan sebelum acara dimulakan. Tempat kejadian menjadi kelam kabut apabila polis rusuhan mengejar peserta sehingga ke pusat membeli belah, memukul beberapa peserta sepertimana yang dilihat saksi kejadian. Kejadian ini bukan sahaja menyebabkan peserta cedera tetapi yang melihat acara itu turut cedera,"ujarnya.

Tegasnya, CIJ mengulangi bahawa kebebasan bersuara dan berhimpun seperti mangadakan acara memasang lilin secara aman adalah merupakan hak asasi yang diakui Perlembagaan Persekutuan untuk semua rakyat di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Parti Sosialis Malaysia mengulangi pendirian nya mendesak kerajaan memansuhkan ISA dan semua undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara.

Setiusaha Agung PSM, S. Arutchelvan berkata, ISA telah digunakan terhadap pelbagai pihak termasuk ahli politik, ahli akademik, pelajar, aktivis Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ramai lagi.

Beliau juga menyifatkan ISA sebagai akta paling drakonian di negara ini yang telah digunakan bagi menyeksa, memalukan dan menafikan hak ribuan individu yang ditahan tanpa bicara.

"Kesemua bekas Perdana Menteri telah menggunakan ISA untuk kekal berkuasa, sebagai satu 'senjata' untuk mencantas apa-apa ancaman dan boleh digunakan ke atas sesiapapun pada bila-bila masa.


"ISA merupakan satu ancaman terhadap demokrasi dan hak asasi dan selagi adanya ISA, saya anggap negara ini masih di dalam perintah 'berkurung'," tegas Arutchelvan.

Katanya ISA dikuatkuasakan kerajaan pada 1 Ogos 1960, iaitu sehari selepas perintah darurat berakhir yang meletakkan negara kini dalam satu keadaan yang menyerupai zaman ketika itu.

"Keadaan cemas sejak 50 tahun lalu ini perlu dihentikan sekarang juga dan tidak patut diteruskan melalui penggunaan kaedah lain," kata beliau lagi.

No comments: