Monday, September 20, 2010

Kelantan masih perlukan Tok Guru


KOTA BHARU, 21 Sept. : Timbalan Pesuruhjaya PAS III Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyifatkan kepimpinan, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berjaya dan masih diperlukan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri bagaimanapun berkata, keputusan akhir sama ada Nik Aziz bertanding atau tidak bergantung kepada ahli dan parti yang mempunyai kuasa pemutus untuk mencalonkan seseorang individu dalam parti.


“Kita serah kepada ahli dan parti untuk buat keputusan, cuma secara peribadi parti masih memerlukan khidmat dan penyertaan Tok Guru untuk memimpin dari segi moral dan fizikal jika dia sanggup untuk berkhidmat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyerahkan kepada parti untuk menentukan kewajaran sama ada beliau bertanding atau tidak dalam PRU akan datang.

Mengulas isu yang sama semalam, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Md Alwi Che Amat dilaporkan berkata, Kelantan memerlukan Menteri Besar yang boleh menggerakkan pentadbiran negeri dengan cekap dan bukan sekadar mendengar taklimat sahaja.

Menurutnya, kenyataan Nik Aziz tersebut sekadar helah politik sedangkan beliau boleh menyatakan dengan jelas pendirian beliau sama ada mahu dicalonkan ataupun tidak

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Ahli Dewan Undangan (DUN) Negeri Panchor berkata, alasan yang dibuat sesetengah pihak bahawa Nik Aziz tidak lagi berkeupayaan untuk memimpin kerana keuzuran tidak boleh diterima.

“Alasan (uzur) itu tidak boleh diterima, jika dilihat sebelum ini ada menteri dan Menteri Besar yang lain lebih uzur tetapi masih lagi mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.SH

No comments: