Sunday, September 19, 2010

Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama kepada Darussyifa’


ALOR SETAR, 20 Sept. : Kerajaan Negeri sedia menawarkan bantuan kepada Darussyifa’ Malaysia Cawangan Alor Setar agar manfaat daripada institusi berkenaan dapat dikongsi oleh seluruh rakyat negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, beliau berbangga dengan kejayaan kumpulan pertama menamatkan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ semalam.


“Kerajaan Negeri akan memberi kerjasama dan bantuan kepada Darussyifa’, bukan dari segi kewangan tetapi kemudahan, apatah lagi Darussyifa’ merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya juga berharap ada kumpulan kedua yang mengikut jejak langkah kumpulan pertama ini,” katanya yang turut menggalakkan mana-mana pihak atau individu yang berminat, terlibat dengan Darussyifa’,”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pengijazahan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ Cawangan Alor Setar, di Dewan Seri Mentaloon, di sini.

Sementara itu, majlis pengijazahan Kursus Pengubatan Islam Darussyifa’ Cawangan Alor Setar disempurnakan oleh Pengasas dan Penasihat Darussyifa’ Malaysia, Datuk Dr Haron Din.

Difahamkan, kumpulan pertama itu disertai seramai 152 iaitu 122 lelaki dan 30 perempuan, namun hanya 127 peserta iaitu 99 lelaki dan 28 perempuan yang berjaya menamatkan kursus.

Sementara itu, Haron Din dalam amanatnya menasihatkan peserta yang mengikuti kursus di Darussyifa’ tidak meninggalkan amalan zikir selain mengamalkan apa yang mereka pelajari sepanjang kursus.

“Saya gembira kerana ramai yang berjaya melepasi halangan, hanya sebilangan kecil yang gugur di pertengahan jalan. Kepada yang berjaya, perlu diingat bahawa mereka akan berhadapan dengan pelbagai karenah dalam masyarakat.

“Saya sedar bahawa bukan semua akan terlibat dalam kerja-kerja rawatan, nasihat saya agar janganlah meninggalkan amalan zikir serta mengamalkan apa yang sudah dipelajari di Darussyifa’,” katanya.

Menurutnya, perbuatan sihir boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak hanya di Kedah dan perlulah menggunakan kaedah yang betul untuk merawatnya.

“Biasanya jika berlaku sihir dalam masyarakat, mereka akan mencari sihir juga untuk mengubati sedangkan itu salah, sihir perlulah dirawat dengan kaedah yang betul dan kita hanya boleh merawat sekadar termampu, selebihnya serahkan pada Allah untuk menyembuhkannya,” katanya.

No comments: