Sunday, September 19, 2010

Pelabur percaya kepada negeri di bawah Pakatan







































K
UALA LUMPUR, 20 Sept: PAS menganggap dakwaan Umno bahawa pelabur tidak datang ke negara ini akibat percaya dakyah pembangkang adalah satu pengiktirafan kepada Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad secara sinis berkata, ianya juga membuktikan bahawa kerajaan BN sudah tidak dipercayai lagi dan sudah tiba masanya mandat pemerintahan negara diserahkan kepada Pakatan Rakyat.

"Kalau inilah kenyataan daripada anggota kabinet kerajaan BN yang bertanggungjawab mengenai kewangan dan pelaburan ke negara ini, maka BN eloklah ,menyerahkan madat kepada Pakatan Rakyat supaya lebih banyak pelabur datang ke negara ini," kata Idris dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir yang mendakwa bahawa pelabur tidak datang ke negara ini kerana percaya dakyah pembangkang.

Menurut Idris lagi, faktor pelabur tidak berminat ke negara ini bukan disebabkan Pakatan Rakyat, namun kegagalan pentadbiran BN mewujudkan suasana yang kondusif yang meyakinkan pelabur.

Pelabur ujarnya tentunya melihat dan meneliti perkembangan semasa dalam negara termasuk pergolakan politik yang berlaku.

Beberapa isu besar seperti isu video klip peguam V.K, Linggam, rampasan kuasa di Perak dan pengkatan indeks rasuah sudah cukup menggerunkan mereka untuk melabur di negara ini.

"Pelabur yang hendak datang ke negara ini, bukan pelabur dalam skim “Pak Man Telo”.

"Macam mana pelabur hendak datang, kalau perjanjian yang jelas menyebut royalti kepada negeri yang ditemui minyak dicabul. Mereka pun risau apa pula jaminan pelaburan mereka, kalau dengan rakyat sendiri pun dilanggar perjanjian," tambahnya lagi.

Sebaliknya, di negeri Pakatan Rakyat seperti di Kedah, mampu menarik pelaburan sebanyak RM1.837 bilion pada tahun 2009 dan Selangor RM7.755 bilion.

"Ini menunjukkan bahawa pelabur masih percaya kepada negeri yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat, dalam masa yang sama kerajaan pusat merungut, pelabur tidak datang kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang. Alasan yang paling lucu yang keluar daripada Tun Dr Mahathir ialah kerana pelabur luar tidak ada wang untuk melabur," katanya.hrkh

No comments: