Tuesday, September 21, 2010

Tidak tahu menahu sumbangan RM 4 bilion





















KOTA BHARU , 22 Sept. :
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak mengetahui bahawa terdapat sumbangan RM4 bilion yang dibuat oleh sebuah syarikat terhadap Kerajaan Negeri seperti mana yang dilaporkan media semalam.


Bagaimanapun, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mengakui beliau menerima kunjungan sebuah syarikat di pejabatnya baru-baru ini , namun hanya sekadar memberitahu untuk mengadakan projek di negeri ini tanpa butiran dan dokumen yang sewajarnya.

“Syarikat itu baru datang jumpa saya, (jika) nak lulus satu-satu projek kena ada surat dan penilaian sebuah jabatan... baru bawa ke mesyuarat Exco,” katanya kepada sidang media selepas menghadiri perasmian Forum Model Baru Ekonomi Kelantan di Dewan Teratai Kota Darul Naim, semalam.

Semalam akhbar melaporkan sebuah syarikat mahu menyumbang RM4 bilion kepada PAS Kelantan atas alasan untuk membangunkan prasarana di beberapa jajahan yang mundur di negeri ini.

Bagaimanapun syarikat yang tersebut mendakwa wang tersebut bukan balasan di atas projek yang diberikan oleh Kerajaan Negeri di beberapa jajahan negeri ini.

Nik Aziz berkata, semasa pertemuan itu dibuat, beliau berterima kasih kepada syarikat itu yang ingin membuat pelaburan di negeri ini, namun segala butiran perlu ada butiran lengkap.

Dalam pada itu, Pengerusi Orang Muda Anti Korupsi Kelantan (OMBAK), Anuar Safian mendesak supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) segera menyiasat dakwaan kenyataan pengerusi eksekutif I’DA world Abdul Rahim Ab Wahab bahawa pihaknya memberikan hadiah sumbangan RM4 bilion kepada Kerajaan Negeri seperti mana yang dilaporkan akhbar semalam.

Menurutnya, tindakan tersebut perlu dipandang berat lebih-lebih lagi terdapat banyak unsur penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri kebelakangan ini.

“Dakwaan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana sejak akhir-akhir ini memang wujud banyak kes-kes penyelewengan Kerajaan Negeri yang sedang dipantau oleh kita”, katanya.SH

No comments: