Tuesday, September 21, 2010

Tindakan keluar parti tak jejas PKR


PARIT , 22 Sept. : Ketua Cabang Parti Keadilan Parit Kapten (B) Usaili Alias menegaskan tindakan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parit, Faizal Effendi Hasim yang keluar daripada PKR tidak menjejaskan perjalanan parti berkenaan di Parit.

Menurutnya, PKR Parit kini sudah mempunyai pengganti baru yang lebih bersedia untuk bekerja bagi kemantapan parti itu di Parit.


“Kita memang sudah sedia maklum berkenaan kes bekas ketua AMK Parit berkenaan kerana jawatankuasa pusat sudah lama mengeluarkannyadari parti kerana melanggar peraturan.

“Parti juga memberi peluang kepada beliau untuk mempertahankan diri namun gagal melaksanakannya dan akibatnya beliau terpaksa menanggung sendiri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Usaili berkata, perkara itu tidak menjejaskan PKR Parit walaupun pemilihan PKR di peringkat cabang sedang berlangsung dan dijangka berakhir pada 25 September ini.

“PKR Parit tetap seperti biasa dan perkara itu tidak menjejaskan kami malahan kami juga sudah mempunyai barisan AMK yang baru dan mereka begitu bersemangat bekerja menaikkan lagi parti.

“Kita sedar mereka yang bertindak untuk keluar dari parti tidak mendapat apa yang mereka inginkan dan itu digunakan oleh pihak lawan untuk memujuk ahli keluar dari parti,” katanya.

Usaili menang tanpa bertanding untuk jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Parit dengan keahlian seramai 1218 ahli.

Katanya, beliau mengharapkan perkara itu biarkan berlalu begitu sahaja tanpa ada pihak yang cuba memburuk-burukkan antara satu dengan lain.

“Kita perlulah bijak berpolitik dan jangan hanya mahu mencari kesalahan orang lain sahaja,” katanya.

Apabila ditanya mengenai pemilihan dalam PKR, beliau berkata, biarkan proses pemilihan itu berjalan lancar tanpa ada sebarang gangguan.SH

No comments: