Saturday, September 4, 2010

Tindakan siasat dahulu sebelum sisatan polis dihormati


SHAH ALAM, 4 Sept. : Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin yakin dengan kredibiliti Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam menangani siasatan kamera pengintip.

Menurutnya, AMK menghormati langkah dan cara serta mengikut keputusan yang dibuat oleh Abdul Khalid.


“Saya lihat beliau ada membuat beberapa keputusan antara lain tidak mahu membuat laporan polis mengenai perkara itu kerana mahu membuat siasatan dalaman sendiri terlebih dahulu.

“Mungkin ada sebab tertentu dan saya yakin alasan yang diberikan olehnya cukup munasabah dan kami tidak mahu campur tangan dalam hal itu,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin apa pun yang dilakukan dan keputusan yang dibuat oleh Abdul Khalid adalah serius.

“Berkemungkinan juga, beliau akan membuat laporan tetapi tidak tahu bila, walau bagaimanapun AMK menyerahkan penyelesaian kepada kebijaksanaannya untuk membuat keputusan dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya yakin tiada apa rahsia kerana kerajaan Pakatan Rakyat (PR) telus dan baru-baru ini dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Akta Kebebasan Maklumat telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu risau kerana tidak ada isu mengenai alat perakam video itu dan tidak ada sebab yang hendak disorok dalam PR.

“Tidak perlu mengintip kerana Kerajaan Negeri membuka ruang untuk memberikan kebebasan kepada rakyat untuk mengetahui maklumat mengenai pentadbirannya dan segala fakta dan maklumat telah diberitahu selama ini melalui sesi dialog,”katanya.SH

No comments: