Sunday, September 26, 2010

Wajib mansuh ISA


SHAH ALAM, 27 Sept. : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menegaskan sekali lagi Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) berlawanan sama sekali dengan semua prinsip hak asasi manusia terutama hak untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selain itu ISA juga bertentangan dengan prinsip hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, hak kepada pembelaan dari segi undang-undang serta hak dijamin bebas daripada sebarang bentuk penyeksaan.

Justeru itu, tidak ada justifikasi untuk meneruskan akta zalim dan drakonian ini dan ISA wajib dimansuhkan serta merta.

Merujuk kepada pembebasan Ketua Wakalah Jemaah Islamiah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari yang dibebaskan Jumaat lalu, Pengerusi GMI Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan berkata badan itu bimbang berhubung tindakan menyerahkan beliau kepada pihak berkuasa republik itu.

"GMI memandang serius perkembangan ini sebagai satu lagi episod kepada sifat arbitrari ISA atau mana-mana penahanan tanpa bicara. Tidak ada sebarang penjelasan mahupun butiran diberikan berhubung tahap ancaman atau risiko kepada keselamatan negara.

"Malah di bawah ISA, Menteri Dalam Negeri tidak mempunyai obligasi untuk mendedahkan kepada rakyat ataupun mahkamah butiran penahanan atau pembebasan. Beliau mempunyai hak mutlak untuk menahan seseorang walaupun tanpa bukti atau perbicaraan. Ini jelas bertentangan dengan prinsip negara hukum," kata Syed Ibrahim.

Sementara mengalu-alukan pembebasan Mas Selamat atas prinsip sesiapa pun tidak harus ditahan tanpa bicara, GMI menegaskan seseorang itu mesti dibebaskan sekiranya beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil.

"Prinsip in diaplikasi kepada semua tahanan dan pada masa ini terdapat 16 orang yang masih merengkok di dalam Kem Tahanan Kamunting di bawah tahanan polis.

"Kuasa luas di bawah ISA membolehkan akta ini disalahguna dengan senang sekali. Dalam kes Mas Kastari, persoalan harus ditimbulkan mengapa beliau ditahan di bawah ISA dan tidak dicaj di dalam mahkamah jika penyiasatan telah dilakukan.

"Persoalan juga timbul terhadap keadaan beliau dibebaskan. Mengapa sekarang? Siapa yang membuat cadangan? Apakah alasan spesifik? Adakah tindakan ini ada sebarang hubungan dengan suasana politik kini? Adakah beliau tidakl agi menjadi ancaman keselamatan kepada negara serta Indonesia dan Singapura sepertimana yang dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri di Parlimen semasa Mas Selamat ditahan?," tanya beliau lagi.

GMI yakin selagi ISA wujud persoalan yang dibangkitkan tidak akan terjawab. Ini kerana kuasa penahanan selektif akan terus berada di tangan Menteri Dalam Negeri.

Insiden beliau melepaskan diri dari Pusat Tahanan Jalan Whitley di Singapura pada 27 Februari 2008 mendapat liputan luas media.

Beliau kemudiannya ditangkap semula oleh pihak polis Malaysia di Kampung Tawakal dekat Skudai, Johor pada 1 April 2009.

Mas Selamat ditahan di bawah ISA dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting di Taiping, Perak pada 23 Mei 2009 untuk tempoh selama dua tahun.

No comments: