Thursday, October 7, 2010

SPRM kena siasat penyelewengan pengurusan air zaman BN di Kedah


ALOR SETAR, 7 Okt. : Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pendedahan yang dibuat mengenai penyelewengan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu berhubung isu air di Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pihaknya telah mengenal pasti apa yang didakwa sebagai penyelewengan yang dilakukan Kerajaan Negeri terdahulu membabitkan kos jutaan ringgit.

“Saya sudah dedahkan maklumat secara tidak langsung, jadi inisiatif SPRM pula untuk cari maklumat terperinci dan siasat. SPRM kan rajin tengok kenyataan dalam blog pun mereka siasat. Tak payahlah saya buat laporan baru nak siasat,” katanya selepas memberi taklimat kepada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil rakyat PR Kedah berhubung isu kenaikan tarif air di sini, semalam.

Azizan berkata, setiap dakwaan yang didedahkan pihaknya adalah berdasarkan kepada fakta dan rekod.

“Saya dapati banyak penyelewengan dari aspek harga, antaranya pembinaan loji air di Lubuk Buntar (dekat Serdang) bagi 25 juta liter air, di mana kos sebenar pembinaannya hanya sekitar RM25 juta hingga RM30 juta, tetapi wang yang dibelanjakan direkodkan RM65 juta,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri turut mempunyai rekod mengenai Kerajaan BN membuat pinjaman dan tidak memilih geran yang ditawarkan Pusat untuk pembangunan air di negeri ini.

“Ini bukan satu projek sahaja. Dua hari lepas saya dedahkan kos pembinaan loji di Padang Sanai yang mempunyai kapasiti 50 juta liter air sehari mencecah RM155 juta, sedangkan anggaran sebenar kos hanya sekitar RM60 juta,” katanya.

Azizan berkata, sepatutnya setelah maklumat berkaitan penyelewengan didedahkan satu pihak, SPRM wajar bertindak atas maklumat berkaitan walaupun tidak dilaporkan secara rasmi kepada pihak berkenaan.

“Kita ada rekod dan maklumat, kalau mahu maklumat rasmi, SPRM kena cari sendiri,” katanya.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian kelmarin, Setiausaha UMNO Kedah, Datuk Ir Nawawi Ahmad mencabar Kerajaan Negeri membuat laporan kepada SPRM selain meminta Azizan berhenti mengugut pemimpin BN berhubung isu air.

Ir Nawawi dipetik berkata, pemimpin BN tidak gentar dengan ugutan Azizan untuk mendedahkan mengenai penyelewengan berhubung isu air ketika BN memerintah Kedah sebelum ini.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri akan membuat laporan kepada SPRM apabila dicabar pemimpin BN, Azizan berkata, bukan tugasnya untuk membuat laporan kepada SPRM sebaliknya sesiapa sahaja boleh berbuat demikian setelah penyelewengan itu didedahkan.

“Saya bukan ugut pun s
aya ada banyak lagi kerja lain nak buat. SPRM kena tanya Nawawi mengenai perkara itu sebab dia pernah jadi Exco Air sebelum ini,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan lanjut yang akan dibuat oleh Kerajaan Negeri berhubung pendedahan itu, Azizan dengan sinis berkata, “tengok gendang main macam mana dulu, nanti kita menarilah ikut rentak.”

Sementara itu, jurucakap SPRM ketika dihubungi Sinar Harian semalam berkata, sememangnya siasatan sesuatu kes boleh dibuat meskipun tidak ada aduan rasmi yang dibuat oleh mana-mana pihak.

“Bagaimanapun, bagi sesiapa yang mengaku ada bukti ataupun maklumat berhubung kes itu, lebih elok jika mereka sendiri datang berjumpa dengan kita pada bila-bila masa. Ini akan lebih memudahkan, melancarkan dan menyempurnakan siasatan SPRM,” katanya.SH

No comments: