Thursday, October 7, 2010

Yakin PAS menang di Galas


SHAH ALAM, 7 Okt. : Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) yakin parti itu dapat mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas pada pilihan raya kecil 4 November ini.

Timbalan Ketuanya, N Balasubramaniam berkata, PAS tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan kerusi tersebut kerana menimba banyak pengalaman pada 11 pilihan raya kecil sebelum ini dan faktor keyakinan rakyat terhadap parti itu.


“Saya yakin pengundi kawasan itu (Galas) dapat menerima PAS dengan baik kerana selama ini masalah yang sering dihadapi penduduk dapat diselesaikan oleh pemimpin PAS,” katanya, semalam.

Menurutnya, DHPP sedia menggerakkan seluruh jenteranya dalam tempoh berkempen bagi membantu kemenangan PAS.

“Kami akan menerangkan mengenai dasar yang digunakan PAS terhadap masyarakat bukan Islam dan DHPP akan memberi penjelasan mengenai isu royalti minyak yang dimanipulasi Barisan Nasional (BN),” katanya.

Beliau berkata, masyarakat bukan Islam menerima PAS dengan baik kerana parti memberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah yang menimpa mereka berbanding dengan BN.

“PAS tidak pernah membezakan atau menganaktirikan masyarakat bukan Islam namun hak dan keselamatan kami terjamin di bawah naungan PAS,” katanya.

Balasubramaniam berkata, rakyat sudah muak dengan janji-janji palsu yang ditaburkan oleh BN sebelum ini.

“Sebagai contoh, ketika di Manek Urai BN berjanji akan membina jambatan bagi kemudahan penduduk setempat, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan mengenainya,” katanya.

Beliau turut menyifatkan tindakan BN melantik Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah pilihan raya adalah kerana terdesak untuk menawan kerusi berkenaan daripada PAS.

No comments: