Wednesday, November 24, 2010

BN tak akan berhenti serang Pakatan

Image Hosted by ImageShack.us


























KUALA LUMPUR, 24 Nov. :
Pakatan Rakyat (PR) yakin masalah dalaman PKR ekoran dakwaan pemilihan dicemari kepincangan tidak akan menjejaskan usaha perikatan tiga parti itu untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum ke-13, yang disebut-sebut diadakan dalam waktu terdekat.


Sehubungan itu, Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) mengetepikan tanggapan pemimpin BN bahawa pihaknya akan mengambil kesempatan daripada kemelut kepimpinan PKR untuk memperoleh kejayaan lebih baik kali ini.

Dengan penuh yakin, Anwar yang juga Penasihat PKR berkata, BN akan menggunakan apa sahaja taktik untuk menjatuhkan komponen PR.

“Saya pasti bukan ini sahaja satu-satunya isu (dibawa BN). Apabila saya pergi ke Australia, ia menjadi satu isu, apabila (Setiausaha Negara Amerika Syarikat) Hillary Clinton menghubungi saya, ia menjadi isu.

“Apabila saya bercakap dengan (Menteri Luar Australia) Kevin Rudd, ia menjadi satu isu, apabila Sky News atau ABC News menemu bual saya, ia juga menjadi satu isu.

“Tetapi TV3 tidak menemu bual saya... saya bersedia jika mahu menemu bual saya. Malah, Astro Awani pun tidak menemu bual saya. Tidak ada masalah.

“Saya merasakan mereka akan menggunakan sebanyak isu yang mereka boleh gunakan,” kata Anwar.

Anwar juga berkata, rakan-rakannya dari PR seperti Penasihat Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR Senator Dr Syed Husin Ali dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali juga berhadapan dengan serangan daripada BN.

“Mereka menggunakan apa sahaja situasi, jadi saya merasakan kami sudah bersedia.
“Apa yang kami alami sekarang lebih kecil berbanding apa yang kami hadapi ketika pilihan raya umum 2008?

“Mereka sering menyerang PAS, DAP dan PKR tetapi saya merasakan rakyat tidak boleh diperbodohkan begitu sahaja,” kata beliau.

Ahli Parlimen Permatang Pauh ini berkata meskipun berhadapan dengan pelbagai dakwaan berhubung kepincangan dan kecacatan dalam pemilihan pusat yang berakhir Ahad lalu partinya tidak pernah menyembunyikan masalah-masalah yang wujud.

“Apabila terima aduan, kami mengambil tindakan. Kami tidak pernah menyembunyikan,” kata beliau yang sekali lagi menyalahkan media bahasa Malaysia milik Umno cuba untuk mendiamkan pandangan-pandangan berbeza daripada kalangan orang Melayu, tetapi ia tidak semestinya dianggap sebagai petanda kegagalan PR dalam pilihan raya umum akan datang.

“Media Melayu tidak beri ruang kepada orang Melayu untuk berfikir. Media bahasa Cina memberikan sedikit ruang dan begitu juga akhbar bahasa Inggeris, tetapi dalam media Malaysia... tiada peluang langsung,” katanya.

Anwar juga menyenaraikan beberapa program PR yang akan diadakan sepanjang beberapa bulan akan datang, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan sokongan dan menjadikan pakatan mantap menghadapi BN.

Antaranya menganjurkan persidangan Menteri Besar dan Ketua Menteri pada 29 November di Shah Alam dan konvensyen PR kedua di Pulau Pinang pada 19 Disember.

Kata beliau, PR juga akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam waktu terdekat bagi membincangkan kecacatan dalam daftar pemilih.

No comments: