Wednesday, November 24, 2010

Pahang hasil banyak , hutang pun banyak






























SHAH ALAM, 24 Nov. :
Walaupun merupakan negeri paling banyak menerima sumbangan dari kerajaan pusat dan masyhur dengan khazanah alamnya, Pahang merupakan negeri paling tinggi jumlah hutangnya, dakwa Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail.


Tanpa menafikan ia perkara yang memalukan, Azan berkata, beliau sebagai seorang ahli parlimen dari negeri itu begitu hairan bagaimana Pahang yang sepatutnya mewah pendapatannya, tetapi mencatat rekod 13 tahun berturut-turut mengalami belanjawan defisit.

"Saya memang sudah jangka, maknanya 13 tahun berturut-turut tidak ada satu pun bajet yang seimbang, teruk.

"Masalah besar yang menjadikan begini sebab Pahang banyak kehilangan hasil. Hasil yang patut dipungut hilang sebab ketidakcekapan," katanya lagi.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob meminta rakyat negeri berkenaan supaya tidak bimbang dengan Bajet Pahang 2010 yang menyaksikan defisit sebanyak RM92.48 juta.

Menurut Adnan, defisit untuk kali ke-13 berturut-turut itu berpunca daripada usaha pertumbuhan ekonomi di negeri berkenaan.

Namun menurut Azan, jawapan Adnan yang langsung tidak melambangkan kredibiliti seorang pemimpin yang mempunyai keinginan politik untuk menyelesaikan masalah defisit yang dialami menjadikan negeri itu sebagai negeri paling banyak berhutang.

"Keadaan itu mengakibatkan Pahang mengumpul hutang yang lebih lagi untuk tahun yang ke-13.

"Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) tahun ini sahaja menerima RM90 juta. Keseluruhan yang diterima RM320 juta seperti yang ada dalam belanjawan," kata Azan.

Selain Pahang katanya, dua negeri lain yang menerima bantuan dari kerajaan pusat ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Perak iaitu sebanyak RM3.2 juta dan Perlis RM1.8 juta.

"Untuk apa beri bantuan kepada PKNP sedangkan negeri mengalami defisit. Sentiasa rugi. Perbelanjaan lebih daripada pendapatan," soal Azan.

Pahang mengalami defisit bagi tahun ke-12 berturut-turut iaitu sebanyak RM98.61 juta pada tahun lalu.

Menurut Adnan, beliau optimis walaupun beberapa tahun kebelakangan ini bajet Pahang mengalami defisit, tetapi menjelang akhir tahun apabila kira-kira kewangan dibuat, ia akan menghasilkan lebihan.

Namun menurut Azan, selagi kerajaan negeri tidak bertukar tangan, hasrat Adnan itu nampaknya sukar untuk direalisasikan.

"Tidak munasabah dalam masa 13 tahun, tidak pernah sekali pun dengan hasil, dengan cukai yang dikumpul, boleh melebihi perbelanjaan?

"Masalah utama ialah apabila terlalu lama diurus oleh pasukan yang sama iaitu kerajaan negeri yang ditadbir oleh Barisan Nasional dan Umno, maka perkara yang sama di bawa dari tahun ke tahun, sama sahaja berturut-turut.

"Kalau bagi lagi 10 tahun, maka 10 tahun lagi lah defisit sebab dia tidak ada kehendak untuk memperbaiki keadaan ini, kerana Umno selalunya berada dalam keadaan selesa," tambah Azan lagi.

Katanya, terlalu menghairankan untuk sebuah negeri yang mempunyai hasil bumi seperti balak, emas, terlibat dalam sektor perindustrian, namun tidak mempunyai pendapatan untuk mentadbir urus negeri.

"Saya musykil dan tidak percaya sama sekali dengan keadaan negeri Pahang yang mempunyai khazanah kayu balak yang bermutu tinggi, dengan emas dan sebagainya, kawasan perindustrian kimianya, tetapi sampai ke tahap tidak ada sumber untuk mentadbir negeri sehingga menjadi defisit. Ini tidak munasabah sama sekali," tambah Azan lagi.

Justeru katanya, sekiranya dicabar untuk menguruskan belanjawan negeri Pahang dalam tempoh satu tahun supaya ia tidak lagi mengalami defisit, beliau sanggup melakukannya.

"Ambil contoh kerajaan Pulau Pinang (di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat) buat pertama kali tahun lepas, tidak ada defisit. Selangor buat pertama kali tidak ada defisit," tambah Azan lagi.

No comments: