Wednesday, November 10, 2010

Dinar emas untuk deposit khidmat amah asing


KOTA BHARU, 11 Nov. : Kerajaan Negeri bercadang menggunakan dinar emas sebagai deposit bayaran bagi mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah Indonesia dalam usaha mengembangkan lagi penggunaan mata wang alternatif dinar emas dan dirham yang diperkenalkan baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan Dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya sudah mengadakan rundingan dengan Indonesia untuk membayarnya menggunakan cara itu melalui jaringan-jaringan yang mempraktikkan mata wang itu.


“Di Indonesia penggunaan dinar dan dirham sudah semakin meluas dan ia dikenali logam emas mulia. Seorang penulis Muhaimin Iqbal juga menulis buku mengenai dinar dan dirham yang laris di pasaran.

“Masyarakat di sana mempunyai jaringan gerai-gerai yang menggunakan dinar dan dirham secara aktif dan standardnya sama dengan kita,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Arifabillah Ibrahim (Pas-Dabong) mengenai negara-negara yang mengamalkan dinar emas dan dirham.

Menurutnya, Granada dan Cordova di Sepanyol mengamalkan ‘gold coin’ yang dilaksanakan awal daripada dinar emas manakala Amerika sendiri mengamalkan sistem awal ‘gold coin’ yang standard sama dengan dinar emas sejak 2001.

Katanya, sempena Ekspo Cheng Ho mulai 21 November nanti pihaknya akan melantik wakil pertama di China dalam usaha mengembangkan lagi penggunaan dinar emas dan dirham itu.

Sementara itu, Husam berkata, pihaknya tidak menerima sebarang teguran daripada Bank Negara Malaysia selepas memperkenalkan penggunaan mata wang alternatif itu namun kenyataan politik pihak tertentu sahaja diterima.SH

No comments: