Wednesday, November 10, 2010

Pengambilalihan PLUS : Tol bakal naik






























KUALA LUMPUR 11 Nov. : Kebimbangan utama disebalik cadangan pengambilalihan PLUS Expressways Bhd oleh UEM Group dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP) ialah kenaikkan kadar tol apabila disemak nanti.


Demikian kata Ahli Parlimen Indera Mahkota Azan Ismail yang mana ujarnya pengambilalihan tersebut akan menyebabkan penstrukturan baru dari segi ekuiti, pengurusan dan pengendalian yang akhirnya kadar tol akan dinaikkan.

"Selepas 20 tahun dan konsesi lebuhraya ini hampir tamat, saya diberitakan akan ada pembaharuan konsesi di mana kerajaan memberi lampu hijau kepada UEM dan KWSP yang kepentingan sahamnya dipegang oleh Umno.

"Penstrukturan semula merupakan strategi asas untuk menaikkan kadar tol. Alasan yang akan diberikan kerana berlaku perubahan dari segi polisi, pengendalian dan sebagainya.

"Ini tentu akan dikatakan perbelanjaan pentadbiran baru yang tidak dapat dielakkan oleh pihak pemegang konsesi (gabungan UEM-KWSP) yang sudah tentu menyebabkan kadar tol terpaksa dinaikkan," ujar beliau.

Dalam pada itu, Azan berkata KWSP yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengendalian lebuhraya menjadi enjin utama sebagai penyumbang pelaburan dari segi kewangan.

"Saya tidak rasa KWSP mempunyai kepakaran dalam pengurusan lebuhraya, gabungan antara KWSP-UEM akan membentuk satu konsortium yang baru di mana UEM akan diletakkan unit yang menjaga aspek teknikal sementara KWSP sebagai institusi yang hanya menyalurkan sumber kewangan.

"Di sini akan timbul konflik baru dalam gabungan yang tidak seimbang di mana dana KWSP daripada pemotongan gaji pekerja sektor swasta .

"Saya tidak pasti keuntungan daripada pelaburan yang dibuat ini akan dipulangkan kepada penabung KWSP atau pun hanya menjadi rakan kongsi untuk tujuan pengambalihan sahaja," ujarnya ketika ditemui TV Selangor di lobi Parlimen, petang tadi.

Dalam kenyataan bersama, UEM dan KWSP berkata tawaran berkenaan akan dibentangkan pada mesyuarat agung luar biasa PLUS bulan depan.

"Pemerolehan semua aset dan liabiliti PLUS akan dilaksanakan oleh perantara pelaburan tujuan khas, yang 51 peratus milik UEM dan 49 peratus dipegang oleh KWSP," kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris, berkata kumpulan akan terus mengekalkan standard penyenggaraan dan perkhidmatan pengendali lebuh raya itu untuk keselamatan pengguna lebuh raya.

Untuk rekod PLUS merupakan pemilik aset RM23 bilion dan merupakan pengendali lebuh raya tol terbesar Asia Tenggara.

No comments: