Friday, November 26, 2010

'Kotak Rahsia' dan jadi 'Katak Rasuah'

Wanita1SHAH ALAM, 26 Nov. : Merujuk kepada kenyataan terbaru bekas ketua AMK Ezam Mohd Nor yang berdasarkan fitnah dan bukan fakta bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah perosak perpaduan Negara dan juga telah memaksa beliau untuk menghina Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebenarnya adalah satu usaha mengelirukan rakyat.

Perihal perpaduan Negara, Dato’ Seri Anwar adalah sebenarnya pemimpin yang telah melahirkan sebuah parti politik berbilang bangsa yang telah dikembangkan kepada Pakatan Rakyat yang komited kepada falsafah ‘Ketuanan Rakyat’ berbanding dengan falsafah BN yang pada pokoknya berpegang kepada ‘Ketuanan UMNO ‘ yang mengamalkan rasuah politik untuk memaksa parti-parti berdasarkan kaum seperti MCA dan MIC untuk bertuankan UMNO.

Pendekatan Pakatan Rakyat ini telah pun disahkan kemurniannya apabila baru-baru ini UMNO telah menggunakan rasuah politik terbaru dengan membuka keahlian terus ke dalam BN.

Pegangan dan pandangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengenai DEB sememangnya jelas dan jitu di mana beliau tidak persoalkan tujuan DEB tetapi mempersoalkan pelaksanaan dan penyelewengan DEB untuk keuntungan golongan kecil bergelar kroni. Mungkin DEB mesti ditukarkan namanya kepada DEK, iaitu Dasar Ekonomi Kroni?

Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengupas dengan teliti bahawa penyelewengan pelaksanaan DEB untuk keuntungan kroni telah merugikan rakyat apabila Negara menghadapi kehilangan keyakinan dunia dengan kemerosotan FDI yang parah, kelemahan sistem pendidikan yang hanya

mampu melahirkan golongan pekerja yang 80 peratus berkelulusan SPM sahaja, ketirisan ekonomi melalui penswastaan dan pemberian konsensi penjanaan kuasa dan lebuhraya tol yang berat sebelah, pembaziran melalui projek-projek mega, pemberian komisyen tinggi untuk pembelian oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup yang tinggi dan kejatuhan pendapatan

rakyat, penghijrahan tenaga profesional ke luar negara dan tahap hutang negara yang membimbangkan, kesemuanya telah melemahkan daya saing negara dengan tenatnya.

Dan pendekatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah terbukti kebenarannya apabila kerajaan di dalam Model Ekonomi Baru telah menyatakan akan melaksanakan tindakan afirmatif (affirmative action) berdasarkan keperluan (needs-based) dan bukan perkauman (race-based) seperti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat selama ini.

Mengenai bahaya salah guna kuasa, rakyat dapat melihat dan menjadi saksi bagaimana institusi kehakiman dipergunakan untuk meneruskan tuduhan fitnah dan palsu kes liwat kali kedua terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Proses siasatan dan bahan bukti yang tidak mengikut piawaian asas keadilan hanya menambahkan kehilangan kepercayaan bukan sahaja rakyat tetapi seluruh dunia terhadap kerajaan cukup mengaibkan.

Oleh demikian, saya amat pelik apabila Ezam yang menjadi pengasas GERAK dan ketika itu cukup bangga menerima gelaran Pejuang Rasuah No.1 telah bertukar nada daripada ‘Kotak Rahsia’ kepada ‘Katak Rasuah’ dengan propaganda untuk menjadi pelindung, pejuang dan pencanang amalan rasuah politik BN, rasuah ekonomi DEB dan rasuah kuasa Kehakiman pula.

Oleh itu, siapa sebenarnya berbahaya kepada BN dan siapa sebenarnya berbahaya kepada Negara? — www.nurulizzah.com

No comments: