Monday, November 8, 2010

Memorandum kes orang hilang, mahu polis lebih agresif


KUALA LUMPUR, 9 Nov. : Dewan Pemuda PAS Pusat menghantar memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien di Parlimen semalam bagi mendesak pihak polis agar lebih agresif dalam menyelesaikan masalah kes orang hilang yang semakin membimbangkan di negara ini.

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, memorandum yang dihantar bagi menyatakan komitmen dan kesungguhan DPPP berganding bahu bersama pihak berkuasa selain memberikan cadangan bagi mengatasi masalah tersebut.


Menurutnya, pihak polis digesa mewujudkan sebuah task force yang disertai oleh agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan serta Ikatan Relawan Masyarakat (Rela) termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik.

“Penubuhan task force sebagai satu komitmen bersama untuk terus menggerakkan usaha mencari orang yang masih lagi belum dijumpai.

“Ia juga sewajarnya dapat mewujudkan satu pelan bertindak bersama dalam tempoh masa tertentu bagi memastikan ia mencapai matlamat yang disasarkan secara efisien dan efektif,” katanyapada sidang media di lobi Parlimen, di sini semalam.

Terdahulu, Hishammuddin mendedahkan di Dewan Rakyat sebanyak 35,473 kes kehilangan individu dilaporkan sejak 10 tahun lalu di mana daripada jumlah tersebut, 14,129 kes masih belum diselesaikan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop memberitahu Dewan Rakyat hanya 7,184 iaitu 56 peratus daripada 12,841 orang telah ditemui sepanjang 2005 hingga 2009.

Pihak polis pula melaporkan statistik jumlah keseluruhan orang yang hilang dari tahun 2007 hingga Mei 2010 adalah seramai 7,312 orang.

Seramai 3,653 orang yang telah ditemui manakala bakinya sejumlah 3,479 masih hilang.

Beliau berkata, kerajaan perlu menjalankan satu kajian komprehensif bagi mengenal pasti faktor dan motif kes kehilangan orang dikhuatiri terdapat kes penculikan, pembunuhan dan pemerdagangan orang yang aktif bergerak di negara ini.

“Berdasarkan penguatkuasaan undang-undang, kerajaan diharap dapat mengkaji semula beberapa peruntukan sekiranya ia melibatkan isu jenayah seperti penculikan dan pemerdagangan orang bagi memastikan hukuman setimpal dikenakan,” katanya.

Nasrudin berkata, Dewan Pemuda PAS akan melancarkan kempen besar- besaran di seluruh negara bagi menyebarkan maklumat dan memberi kesedaran kepada rakyat bagi memperjuang isu ini.

“Selain kerjasama dengan pihak polis dan pihak berkaitan bagi memperkasa gerakan mengesan orang hilang, Pusat Aduan Rakyat akan ditubuhkan bagi memudahkan medium pengantara dan melicinkan sistem penyampaian maklumat,” katanya.SH

No comments: