Monday, November 8, 2010

Tindakan pukul ADUN melampau patut dikutuk


SABAK BERNAM, 9 Nov. : Jawatankuasa kampung, ahli majlis serta penyokong dan ahli Pakatan Rakyat (PR) mengadakan perhimpunan bagi menyelar tindakan sekumpulan lelaki yang bertindak mencederakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan beberapa orang kanannya sewaktu kunjungan mereka ke Kampung Sempadan Kunci Air Buang, Khamis lalu.

Timbalan Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, Rojikin Sarbini berkata, perhimpunan yang disertai hampir 200 orang itu bagi menyuarakan kekesalan terhadap tindakan yang dianggap melampau dilakukan kepada seorang wakil rakyat.


“Kita tidak mahu perkara seumpama ini berlaku lagi. Dalam sebuah negara yang demokrasi dan mengamalkan politik matang, kejadian seperti itu tidak seharusnya berlaku terutama kepada seorang pemimpin,” katanya.

Perhimpunan yang berlangsung selama hampir 10 minit di hadapan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sekinchan bersurai secara aman.

Seorang Ahli Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Mah Eng Kian berkata, dalam dengan keadaan negara yang aman, seharusnya tidak timbul budaya pukul memukul seumpama itu

Menurutnya, Selangor yang kini berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) sendiri tidak pernah menyekat mana-mana pemimpin daripada parti lain untuk melaksanakan sebarang aktiviti dan program di negeri itu.

“Itu bukan budaya kita. Apa juga masalah timbul boleh diselesaikan dengan cara baik bukan bertindak memukul atau sebagainya.

Saya terperanjat apabila dimaklumkan perkara ini apatah lagi yang menjadi mangsa adalah wakil rakyat,” katanya.

Suee Lim yang mengalami bengkak di kepala, senak di perut, luka kecil di siku dan kaki dipercayai ditumbuk serta ditendang kini berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di hospital selama tiga hari.

Dalam kejadian kira-kira 11.35 pagi itu, beberapa rakannya termasuk ketua kampung dan pegawai akhbar yang berada di tempat kejadian turut mengalami cedera ringan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menerima dua laporan daripada kedua-dua pihak dan mengambil keterangan daripada enam individu berhubung insiden itu.SH

No comments: