Wednesday, November 17, 2010

Sediakan laporan audit forensik Sime Darby rugi RM 2.1 billion




























SHAH ALAM, 17 Nov. : Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail menyifatkan laporan audit forensik untuk menyiasat kerugian konglomerat Sime Darby hanyalah laporan audit biasa bertujuan mengaburi mata rakyat.

Laporan tersebut yang merumuskan Sime Darby mengalami kerugian RM2.1 bilion dikemukakan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC Berhad) untuk menjalankan siasatan kemungkinan wujudnya amalan penyelewengan.

"Saya bertegas bahawa laporan audit forensik yang disebut tentang kerugian Sime Darby RM2.1 billion bukan laporan forensik yang sepatutnya atau yang sepatutnya dikehendaki untuk melihat kerugian ini. Itu adalah laporan audit biasa.

Menurut beliau, tajuk laporan tersebut semata-mata bertujuan mengaburi mata rakyat namun dijangkakan tiada penyenaraian terperinci berhubung kaedah penentuan penyiasatan audit yang mengakibatkan kerugian lebih dari RM2 billion.

Azan yang ditemubual TV Selangor berkata, laporan audit forensik sebenar dikeluarkan dalam bentuk berskala justeru mengambil masa lama untuk menyediakan laporan lengkap.

Beliau percaya, kerajaan persekutuan menyedari akan prosedur tersebut apabila arahan membuka kertas siasatan audit dikeluarkan namun seolah-olah mengenepikan kebijaksanaan rakyat menuntut penjelasan.

"Kalau dia umum terus laporan itu sekaligus, bukan laporan forensik namanya sebab disifatkan sebagai laporan forensik ini mesti ada pengumuman setiap tiga bulan atau frasa-frasa supaya hasil kemudian tidak boleh diseleweng," jelas beliau kepada TV Selangor.

Azan juga percaya ada unsur penyelewengan yang cuba disembunyikan berdasarkan laporan audit forensik yang tidak mengikut prosedur.

Beliau mengambil contoh laporan audit Kementerian Kerja Raya yang menfokuskan 30 peratus kes diklasifikasikan sebagai 'kes rujukan utama' daripada jumlah keseluruhan setelah menapis laporan yang diperoleh secara berperingkat.

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat hari ini menuntut Sime Darby mengemukakan laporan audit forensik berhubung kerugian RM2.1 billion konglomerat itu selain menyatakan tindakan undang-undang sivil sahaja tidak cukup kukuh menjelaskan kepada umum.

Kertas laporan audit forensik tersebut telah diserahkan kepada SPRM dan SC semalam untuk diteliti.
"Kalau betul kita mahu desak supaya dikemukakan kepada awam, maknanya ada pengumuman hasil penemuan oleh Ketua Audit Negera. Mesti ada penemuan. Dia tidak boleh setakat mengumumkan kepada umum," jelas Azan lagi.

Ditanya sekiranya terdapat usaha melindungi maklumat penuh laporan audit kerugian Sime Darby, Azan berkata kenyataan tersebut tidak dapat disangkal.

"Memang sudah tentu. Laporan audit forensik yang kita jangka dilaporkan ini, dipinjam nama sahaja. Tapi hasil laporan itu bukan hasil laporan audit forensik. Laporan biasa."

Azan percaya Sime Darby akan terus mempertahankan alasan salahurus pelaburan luar negara menjadi faktor kerugian selain pihak yang dilantik Sime Darby menguruskan projek luar negara.

Justeru kenaikan harga bahan mentah dan tenaga kerja akan terus dijadikan alasan munasabah diharapkan dapat diterima umum.

"Apa yang kita desak sekarang, sesiapa yang menyebabkan kerugian ini perlu dihukum. Itu yang kita tekankan bukan sebab musabab menjadi kerugian itu.

"Kalau betul dia mahu buktikan, kita sanggup berdepan jawatankuasa yang menyiasat ini dan kita mahu tengok apa kaedah yang digunapakai," tegas Azan.

Azan yang menjelaskan kepada TV Selangor begitu optimis menyatakan kerugian yang dialami Sime Darby merupakan unsur penyalahgunaan kuasa dan kelemahan dalam pengurusan dana syarikat itu ketika mengendalikan rundingan sebut harga projek mega di negara Timur Tengah termasuk empangan Bakun di Sarawak.

No comments: