Sunday, November 28, 2010

Siasat syarikat tiada loji benih padi

Bahrain

PARIT BUNTAR, 28 Nov. :
PAS Parit Buntar menyokong gesaan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung tindakan kerajaan membekalkan benih padi kepada syarikat individu yang tidak mempunyai loji benih.


Pengerusi Lujnah Petani dan Nelayan PAS Parit Buntar Abdul Bahrain Desa berkata, siasatan juga harus dibuat terhadap pemberian kontrak membekalkan baja organik di bawah skim subsidi padi Malaysia kepada syarikat yang tidak berpengalaman dalam menghasilkan baja organik.

“ Pembekalan benih padi dan baja organik ini sepatutnya diberikan kepada syarikat yang mempunyai pengalaman menghasilkannya.

“ Sekiranya benih padi dan baja organik ini dibekalkan kepada syarikat yang tidak berpengalaman dan hanya semata-mata mengaut keuntungan , petani termasuk di Daerah Kerian akan menerima kesannya” katanya

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya tidak memperjudikan nasib petani kerana benih padi yang tidak berkualiti akan menyebabkan hasil padi merosot.

" Proses pemberian tender ini tidak dibuat secara telus iaitu diberi kepada syarikat yang sebahagiannya tidak mempunyai loji benih.

“ Sedangkan mengikut syarat yang ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, hanya syarikat yang mempunyai loji benih sahaja layak menerima bekalan benih “ katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Parit Buntar.

Bahrain berharap SPRM menjalankan siasatan segera terhadap dakwaan ini kerana terdapat unsur-unsur pemberian tander tersebut kepada syarikat kroni yang tidak mempunyai loji benih.

“ Kita kesal dengan sikap kerajaan yang lebih mengutamakan kepentingan syarikat kroni berbanding petani.

“ SPRM perlu bertindak segera sebagaimana mereka begitu pantas menjalankan siasatan terhadap kes yang sedang berlaku di Selangor melibatkan penahanan seorang pegawai atasan Yayasan Negeri Selangor berhubung dakwaan kos penganjuran sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu yang melebihi RM300,000, baru-baru ini” katanya

No comments: