Friday, December 24, 2010

Brahim Ali jangan dok menyibuk

PAS ingatkan orang luar

http://www.harakahdaily.net/v2/images/stories/berita/22feb/dr_fadzli_hassan.jpg
KOTA BHARU, 25 Dis. : PAS Kelantan mengingatkan orang luar supaya tidak campur tangan mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meletak jawatan kerana mana-mana pihak tidak berhak berbuat demikian.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, hanya PAS Kelantan sahaja yang berhak tetapi sehingga kini semua pemimpin dan ahli PAS negeri mahukan Tok Guru memberikan sumbangan dalam apa cara sekalipun walaupun hanya melalui pemikiran.

“Selagi Tok Guru sihat PAS Kelantan tetap mahukan beliau menerajui pemerintahan negeri ini. Tiada orang PAS yang mahukan Tok Guru meletak jawatan yang dipegang sejak 20 tahun lalu ini.

“Ini peringatan untuk UMNO atau sesiapa sahaja bahawa kekuatan PAS bukan terletak pada Tok Guru semata-mata tetapi pada ideologi perjuangan PAS selama ini,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desakan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali supaya Nik Abdul Aziz meletakkan jawatan Menteri Besar dalam akhbar ini, kelmarin.

Gesaan itu dibuat ekoran keadaan kesihatannya yang sering terganggu di samping gagal membawa sebarang perubahan meskipun sudah mentadbir negeri ini selama 20 tahun.

Mohamed Fadzli berkata, jika Nik Abdul Aziz tiada atau melepaskan jawatannya itu, Tok Guru lain boleh mengambil alih tampuk pemerintahannya kerana ramai yang layak kerana penggantinya akan ada.

Menurutnya, soalnya sekarang tidak timbul pengganti Nik Abdul Aziz kerana pemimpin dan ahli Pas masih perlukan Mursyidul Am PAS itu menerajui kepimpinan Kelantan.

“Jika Tok Guru ini tiada, Tok Guru (pemimpin PAS) lain boleh ambil alih kerana ramai yang layak. Soalnya selagi Tok Guru boleh berkhidmat PAS Kelantan tetap perlukan beliau.

“Walaupun Tok Guru sering sakit, namun selagi beliau boleh memberikan pandangan, pemikiran, idea untuk negeri ini selagi itu PAS Kelantan tetap berdiri teguh di belakang beliau. Melainkan beliau sendiri yang rasa nak tarik diri,” katanya.

Akhbar ini kelmarin melaporkan, Ibrahim berkata, Nik Abdul Aziz perlu berundur dan melepaskan jawatan Menteri Besar supaya rakyat tidak terus ditindas dengan kepincangan dalam pembangunan di negeri ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu mendakwa Mursyidul Am PAS berkenaan sehingga kini hanya menggunakan sentimen agama untuk meraih kepentingan politik dan pada masa yang sama telah mengkhianati orang Melayu dan Islam di negara ini.

Ibrahim berkata, Menteri Besar terbabit mencipta banyak alasan untuk kekal menjadi Menteri Besar kerana sudah berasa ‘seronok’ dengan kuasa di Kelantan.SH

No comments: