Friday, December 24, 2010

Umno dibelakang DBKL

Kampung Warisan: Muafakat kesal sikap DBKL

KUALA LUMPUR, 24 Dis: Majlis Permuafakatan Perkampungan Tradisi Melayu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Muafakat) kesal dengan sikap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang masih enggan memenuhi tuntutan mereka untuk mengisytiharkan Kampung Padang Balang dan 6 kampung lain di sekitarnya, di sini, sebagai Perkampungan Melayu Warisan.

Pengerusi Muafakat, Ishak Surin menegaskan, pengisytiharan Perkampungan Melayu Warisan ke atas 7 buah kampung terbabit amat penting bagi menyelamatkan perkampungan tersebut dari menjadi mangsa perlaksanaan Pelan DBKL 2020 yang akan menghakis tanah rezab Melayu di kawasan itu.

Menurut beliau, selain itu, ia juga bertujuan untuk menyelamatkan warisan Melayu dari terus terhakis sekiranya pelan DBKL 2020 dilaksanakan di kawasan itu.

"Sekiranya Pelan DBKL 2020 dilaksanakan di perkampungan kami ini, tanah-tanah rezab Melayu di kawasan ini bukan sekadar hilang dari pemilikan Melayu, tetapi kawasan ini juga akan bertukar menjadi pusat pembangunan komersial yang sekali gus akan menghilangkan identiti Melayu seratus peratus.

"Itulah sebabnya kami menuntut pengisytiharan itu. Jika kawasan ini diisytiharkan sebagai Perkampungan Melayu Warisan, kawasan ini akan selamat dari menjadi mangsa pelan tersebut dan tidak lagi boleh diganggu gugat oleh sebarang pihak," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Kampung-kampung terbabit terdiri daripada Kampung Bandar Dalam, Kampung Padang Balang, Kampung Chubadak, Kampung Puah, Kampung Sungai Merali, Kampung Sungai Mulia dan Kampung Kuah Seberang.

Bagaimanapun setelah sekian lama berjuang menentang perancangan itu, para penduduk di 7 buah kampung terbabit masih belum menerima tindak balas yang baik dari pihak DBKL.

Katanya, pada 29, 30 dan 31 November lalu, sempena Hari Terbuka DBKL, pihak DBKL telah memanggil beliau dan AJK Muafakat untuk mendengar taklimat mengenai perkembangan terkini hasil dari tuntutan mereka itu.

"Taklimat itu diadakan di tingkat 31 bangunan DBKL. Saya hadir bersama 10 AJK Muafakat. Taklimat itu disampaikan oleh perunding DBKL. Dalam taklimat itu, kami diberitahu tuntutan kami telah dipersetujui tetapi dipinda kepada 'Urban Villege' (Perkampungan Bandar).

"Selain 7 kampung terbabit, kawasan lain yang turut dimasukkan dalam 'Urban Villege' itu ialah India Settlement Kampung Pandan (penempatan India di Kampung Pandan) dan Kampung Malaysia Tambahan di Bandar Tun Razak," katanya yang juga YDP PAS Kawasan Batu.

Pindaan tersebut, menurutnya, tetap dibantah oleh pihaknya kerana ia masih tidak memenuhi tuntutan mereka. Perjuangan Muafakat bukanlah untuk mendapatkan title 'Urban Village' bagi kawasan itu, tetapi Perkampung Melayu Warisan.

Tambahan pula, pengisytiharan ke atas 7 perkampungan terbabit sebagai Perkampung Melayu Warisan telah dibuat sendiri oleh pihaknya pada 10 Oktober lalu menerusi satu perhimpunan besar-besar yang dihadiri para penduduk di kampung-kampung terbabit.

"Pengisytiharan itu dibuat hasil muafakat kami. Ia dah tak boleh diubah lagi. Jadi, apa pun berlaku, kami mesti teruskan perjuangan kami sehingga berjaya," tegasnya yang juga AJK Badan Bertindak Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat.

Beliau yang juga AJK Lajnah Kemajuan Tanah dan Wilayah PAS Pusat kesal kerana pindaan yang dibuat itu bukan sekadar memperlihatkan keengganan pihak DBKL memenuhi tuntutan mereka, tetapi masih turut menunjukkan hasrat pihak terbabit untuk mengagungkan bahasa Inggeris dengan ingin menamakan kawasan mereka sebagai 'Urban Villege'.

Turut dikesalkan oleh beliau, taklimat yang diadakan oleh pihak DBKL itu bukannya disampaikan oleh pihak DBKL sendiri, tetapi hanya perundingnya. Ia seolah-olah memperlihatkan sikap pihak DBKL yang enggan bertemu dengan mereka untuk mengadakan perbincangan lanjut.

Sehubungan itu, pihaknya bercadang untuk mengadakan satu perhimpunan kesyukuran pada 1 Januari 2011 nanti di Madrasah Tarbiyah Kampung Bandar Dalam bermula solat Maghrib, bagi mengadakan satu memorandum khas untuk mendesak DBKL memenuhi tuntutan mereka.

"Memorandum itu akan dihantar kepada pihak DBKL, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim, Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ketua Pembangkang, Ahli-ahli Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pemimpin-pemimpin politik termasuk yang berada dalam Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," jelasnya.

No comments: