Thursday, December 2, 2010

Turun 5 Dis. : Biarkan GAPS, kalau fitnah bersiap untuk disaman

khalid























SHAH ALAM, 2 Dis. :
Menteri Besar Selangor tidak risau berkemungkinan berlakunya pertembungan dengan Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Ahad ini apabila kedua-dua pihak mahu menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong walaupun melibatkan dua isu yang berbeza.


Malahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut menjemput GAPS menyertainya bagi menyampaikan memorandum kepada Seri Paduka berhubung hak air.

GAPS merancang untuk menyerahkan memorandum mengenai 30 kes tuduhan rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Rakyat sejak merampas negeri itu dari pentadbiran Barisan Nasional dua tahun lalu.

"Mereka boleh menyertai kami pada hari itu (dan menghadap Seri Paduka). Ini parti demokrasi dan kami menggalakkan kebebasan bersuara walaupun mereka mesti mematuhi tatasusila dan beretika.

"Kamu tidak boleh menyakiti dan menghina orang lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perayaan Deepavali untuk pejawat awam negeri di sini hari ini.

Khalid kelihatan tenang mengenai dakwaan rasuah yang akan didedahkan oleh GAPS. "Mereka boleh lakukan apa yang mereka mahu, jika ada kebenaran.

Tapi mereka harus tahu bahawa mereka juga boleh disaman jika ia berupa fitnah. Misi kami ialah menolong rakyat dan kami akan teruskan dengan rancangan kami," katanya.

Adalah difahami kerajaan negeri akan mengumpul kira-kira 10,000 demonstran Ahad ini untuk menyerahkan memorandum bertajuk "Pulangkan hak air kepada rakyat" kepada Seri Paduka.

Bagaimanapun, GAPS melancarkan kempen menentang rasuah esok, di mana ia bercadang untuk mengumpul seramai 2,000 penyokong bagi menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor Sultan Sharifuddin Idris Shah dan Seri Paduka, juga pada Ahad ini.

GAPS yang mengandungi 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merancang untuk mendedahkan 30 kes rasuah, yang antara lain, melibatkan dua anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Yayasan Selangor dan Talam Corporations.

Syabas belum respon


Sementara itu, Khalid mendedahkan bahawa syarikat konsesi air itu belum memberi maklum balas terhadap notis kerajaan negeri supaya dihentikan program kutipan dana Tabung Budi, walaupun tempuh tamat 14 hari sudah hampir.

"Tidak…..kami tidak menerima apa-apa tapi apa pun, mereka telah melanggar syarat perjanjian kontrak. Tugas mereka ialah menyedia dan mengedar air di Selangor dan mereka tidak boleh mengutip wang dari orang ramai untuk tujuan lain," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri berhak membatalkan perjanjian air dengan Syabas jika mereka terbukti melanggar syarat perjanjian kontrak.

"Jika perkara ini dibawa ke mahkamah, kami akan buktikan Syabas tidak menjalankan tugasnya seperti yang dinyatakan dalam kontrak.

"Sebagai contoh, kamu menandatangani perjanjian untuk menjual nasi lemak tapi kamu menjual burger, jadi itu dianggap sebagai melanggar syarat perjanjian," kata Khalid.

"Jika mereka masih berdegil dengan Tabung Budi, kami juga mempunyai hak untuk membatalkan perjanjian air dengan mereka," katanya.

Syabas bagaimanapun mendakwa bahawa Tabung Budi telah memberi faedah kepada golongan yang memerlukan, di mana saluran bekalan air mereka telah dipotong kerana gagal menjelaskan bil.

Mereka (Syabas) juga berkata mereka tiada rancangan untuk menghentikan program ini.




No comments: