Monday, December 6, 2010

Umno dan Perkasa sama-sama bacul


























KUALA LUMPUR 7 Dis. : Isu ketuanan Melayu menunjukkan kembali wajah sebenar Umno, PERKASA sebagai institusi perkauman di negara ini.
Perkara ini dijelaskan oleh Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasation Ismail dalam satu kenyataan berhubung tindakan Umno-PERKASA yang terus memanipulasi isu ketuanan Melayu perlu dibuang jika mahu bangsa itu terus maju dalam Kongres Nasional ke 7 parti itu baru-baru ini.

Kata Saifuddin, persoalan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah adalah mudah; iaitu kaedah bagaimana yang boleh menjamin kelangsungan dan darjat orang Melayu yang akan dihormati dan bermaruah, dalam kerangka masyarakat pelbagai kaum yang ada di Malaysia dan arus globalisasi yang deras meninggalkan kita?

Jelasnya lagi, kaedah sedia ada dibawa oleh Umno – iaitu mengabui mata rakyat mengenai hak mereka (melalui Umno) untuk terus berkuasa tidak kira prestasi mereka dan kebajikan rakyat keseluruhannya, terutamanya nasib orang Melayu.

"Konsep “Ketuanan Melayu” yang dilaungkan secara terbuka dan dibisikkan secara senyap ini oleh Biro Tata Negara(BTN) dan agensi-agensi lain, menakut-nakutkan orang Melayu bahawa perubahan kerajaan kepada pakatan politik yang lain akan menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Apabila orang Melayu hilang kuasa, maka nasib orang Melayu akan terjejas dan akan tertindas," kata Ahli Parlimen Machang itu.

Sambil melabelkan tindakan Umno dan PERKASA mengheret institusi Raja-Raja Melayu dengan mentaklikkan “Ketuanan Melayu” sebagai “Ketuanan Sultan” adalah satu tindakan yang bacul di pihak Umno dan PERKASA.

Lalu kata Saifduddin lagi, apabila tidak mampu mencari kaedah terbaik membela orang Melayu sepertimana PKR, Umno dan PERKASA menggunakan Institusi Raja untuk kepentingan mereka.

"Tindakan seperti inilah sebenarnya yang menghina institusi Raja-Raja Melayu kerana ia tidak menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu yang memayungi seluruh rakyat jelata tidak mengira kaum, agama dan pegangan politik," katanya.

Namun, tindakan Umno dan PERKASA itu bukanlah perkara baru. Rekod mereka mencalarkan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu di mata rakyat sudah diketahui umum. Krisis-krisis perlembagaan yang melemahkan institusi Raja-Raja Melayu dalam tahun 1983 dan 1993 dicetuskan oleh Umno.

Lebih malang, dalam kedua-dua siri krisis perlembagaan yang disusun oleh Umno itu, berlaku serangan-serangan yang bertujuan mengaibkan Raja-Raja Melayu dalam akhbar-akhbar dan media milik mereka.

"Saya beri amaran supaya Umno dan PERKASA jangan lagi cuba memfitnah KEADILAN dan Pakatan Rakyat dalam perkara ini. Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang diluluskan pada 19 Disember 2009, secara jelas mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra dan institusi raja berpelembagaan," katanya.

Saifuddin juga menyoal, apakah “Ketuanan Melayu” yang berpaksikan kepada sistem kroni dan mendokong rasuah dengan menghamburkan kekayaan negara kepada beberapa kroni rapat Umno (tanpa mengira kaum) akan melahirkan golongan peniaga Melayu yang berdaya maju? Apakah budaya rasuah yang berleluasa di dalam Umno akan menjamin kedudukan istimewa orang Melayu tidak akan dijual suatu hari nanti?

Sehingga kini katanya, selepas tiga dekad “Ketuanan Melayu”, 75 peratus dari bilangan keluarga yang pendapatan isi rumahnya di bawah RM2,000 adalah orang Melayu.

"Golongan ini jugalah yang dikategorikan sebagai golongan 40 peratus paling miskin di Malaysia, seperti yang dihuraikan Perdana Menteri sendiri dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Justeru, KEADILAN yakin bahawa polemik “Ketuanan Melayu” ini adalah benteng terakhir Umno dan PERKASA yang kian rapuh dan ditolak rakyat," mengakhiri kenyataan.

MUFTI PERAK : AMALAN BERUNSUR KHURAFAT

No comments: