Thursday, January 13, 2011

Bahas terbuka, Najib jangan takut


KUALA LUMPUR 13 JAN: Pakatan Rakyat hari ini mengulangi keperluan mengadakan perbahasan terbuka antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib Razak bersabit program 100 hari gagasan itu demi kebaikan rakyat.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang bersidang petang tadi menolak cubaan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk mengambil tempat Najib bagi perbahasan itu.

Selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, adalah wajar untuk Najib yang menyertai perbahasan itu, kata Anwar kepada pemberita.

"Cabaran dan kritikan ( datang) daripada PM dan ini isu kewangan. Bukan isu ahli parlimen yang hendak bersara," kata Anwar.

Khairy sebelum ini mengumumkan beliau tidak mahu mempertahankan kerusi parlimen Rembaunya pada pilihanraya umum akan datang setelah gagal untuk dilantik ke sebarang jawatan Kabinet oleh Najib.

Najib semalam enggan berbahas dengan Anwar atas alasan perbahasan itu tidak akan membawa sebarang hasil.

Namun beliau menggunakan media arus perdana untuk mengkritik program itu sebagai tidak realisitk dan bakal memufliskan negara.

Program 100 hari Pakatan Rakyat menawarkan subsidi rakyat yang lebih tinggi, lebuhraya tanpa tol, imbuhan yang lebih baik untuk kakitangan awam yang memerlukan peruntukan RM19.2 bilion ringgit. Ia akan dilaksanakan dalam tiga bulan pertama gagasan itu menawan Putrajaya.

Pakar-pakar ekonomi yakin program itu berwibawa kerana berpaksi kepada penjimatan wang rakyat jika pemberian kontrak kepada syarikat kroni dibanteras, manakala subsidi untuk syarikat korporat kroni dikurangkan.

Transparency International menganggar rasuah menyebabkan negara kerugian RM10 bilion setahun. Ketua Audit Negara, dalam laporan tahunannya mendedahkan ketirisan sahaja mengakibatkan Malaysia kerugian RM28 bilion ringgit.

Anwar berkata program ekonomi pakatan rakyat yang dikenali sebagai "buku jingga" akan diedarkan kepada rakyat di setiap negeri dalam tempoh sebulan.

Merujuk kepada kritikan Najib terhadap program 100 hari PR, Anwar berkata Najib harus menyahut cabaran untuk berbahas dengannya supaya rakyat boleh menilai program yang ditawarkan oleh BN dan Pakatan Rakyat.

"Kita keluarkan dengan hujah yang diperkukuhkan oleh kumpulan penasihat ekonomi. Kalau mahu rakyat menilai, orang yang bertanggungjawab dalam pengurusan ekonomi, PM dan PR yang mempunyai dasar alternatif harus berbincang secara terbuka," jelas beliau kepada media.

"Kita akan mempertahankan keperluan menyebar luas program ini dan memberi ruang kepada BN mengulas," tambah Anwar lagi.

Anwar turut mengumumkan sebuah konvensyen khas PR mengenai ekonomi akan dianjurkan bersama NGO pada bulan Mac nanti.

No comments: